23 Februari 2010

SURAM MALAM KEHIDUPAN

Suram malam kehidupan ini
Sering dilimpahi cahaya hitam
Menggelapkan ruang yang sememangnya gelap

16 Februari 2010

JUTAWAN DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Tan Sri Robert Kuok dari Kumpulan Kuok yang melepaskan mahkotanya "Raja Gula" tahun lepas, mendahului senarai 40 orang terkaya di Malaysia.

Kekayaan beliau ialah sebanyak RM42.76 bilion, meningkat RM16.1 bilion daripada RM26.6 bilion setahun lalu .

Hartawan telekomunikasi Ananda Krishnan berada pada kedudukan kedua dengan kekayaan RM27 bilion.

Tan Sri Lee Shin Chen dari IOI Corporation Bhd menduduki tempat ketiga dengan kekayaan RM11.92 bilion diikuti ahli perbankan terkemuka Tan Sri Teh Hong Piow dengan kekayaannya berjumlah RM10.86bilion.

Tan Sri Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting dengan kekayaan bernilai RM10.38 bilion, melonjak kepada kedudukan kelima. Ini kerana beliau mewarisi sejumlah besar kekayaan daripada mendiang bapanya Tan Sri Lim Goh Tong.

Tan Sri Quek Leng Chan dari Kumpulan Hong Leong menduduki tempat keenam dengan RM7.09 bilion manakala Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dari Yayasan Albukhary dengan kekayaan bernilai RM6.01 bilion, menduduki tempat ketujuh.

Jutawan lain yang tersenarai dalam 10 teratas adalah balu Lim Goh Tong, Puan Sri Lee Kim Hua, Tan Sri Tiong Hiew King dari Rimbunan Hijau Group dan Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Group.

Lima muka baru dalam senarai itu ialah Lee Swee Eng dari KNM Group, Datuk Shahril Shamsuddin dan Shahriman Shamsuddin dari Sapura, Datuk Seri Nazir Razak dari CIMB Group dan Ong Leong Huat dari OSK Holdings, yang muncul semula dalam senarai itu selepas tiada dalam tempoh setahun. - Bernama

SELAMAT TINGGAL KOTA KEJAM

Selamat tinggal kota kejam
Aku benci pada riuhmu
Aku benci pada suaramu
Aku benci pada sinarmu

Selamat tinggal kota kota kejam
Kau hanya tahu meminta wang
Kau tiada perikemanusiaan
Kau kejam pada si miskin

Selamat tinggal kota kejam
Kau terlalu banyak berdosa
Pada insan bernyawa
Yang menumpang hidup di perutmu
Tetapi suaranya tidak kau dengari

Selamat tinggal kota kejam
Aku amat benci pada wajahmu.

Tika Melewati Kota Yang Lengang, KL

MUDA BEKERJA.. TUA DERITA?

Senja ini aku masih di kamar
Kamar sepi yang memberiku ilham menulis lampiran kajian
Thesis yang tidak pernah siap
Aku sendiri tidak mengerti bila akan ku bubuh titik noktah
Kajian ini sebenarnya menakutkan diriku sendiri
Kajian tentang kecukupan gaji
Telah ku jelajah untuk menemui ramai guru-guru
Mengedar soal selidik buat mereka
Bertanya tentang cukup atau tidak gaji mereka
Semuanya mengatakan tidak cukup
Seorang pengetua berkata kepadaku
Tidak perlu buat kajian, kerana jawapannya ialah tidak cukup.
Aku risau bersendiri
Tatkala aku mengkaji
Aku mula berfikir
Cukupkah pendapatanku apabila bersara kelak?
Ada satu penemuan yang ku temui
Tetapi tidak akan ku tulis dalam kajianku
Tentang kemiskinan selepas bekerja

Senja terus menyapa
Menjemputku pulang ke rumah
Memikirkan esok yang pahit dan pedih.
Senja Di Kamar Sepi, UM.

MENANGIS DI KOTA KEJAM


Aku sendirian di kota kejam
Membawa hati yang duka lara
Tiupan dingin angin kurasa panas membakar
Seluruh jiwa dan jasadku
Aku sendirian di kota kejam
Terbiar kaku dan lesu
Membilang hari-hari yang menyakitkan
Dalam jaga dan lenaku.

Kamar Sepi
Universiti Malaya

SEMUSIM LALU.. DISINI AKU BERMAIN..

Tahun 2010 nampaknya bermula sedih dan pilu. Ombak gelora keresahan dan tekanan di jiwa terus melanda tanpa henti. Bertiup dan terus memukul diri yang serba kerdil ini. Sesekali terfikir di hati bahawa hidup ini terlalu pahit. Sesekali terfikir bahawa hidup ini menyakitkan.
Meniti hari-hari yang semakin meningkat dan berlari pantas, mengalir deras... air mata sesekali tumpah ke bumi membasahi dan membanjiri kolam hati yang menyedihkan. Seperti hidup ini hilang dalam kecerahan siang sang mentari.
Tika ini aku merindui desa, kicauan burung dan tepi sungai tempat aku sering bermain tatkala kecilku.
Aku merindui lampaian daun kelapa di tepi rumah, angin bukit yang bertiup dan dingin malam di desa yang menusuk hingga ke hati dan mendamaikan tika pungguk melagukan iramanya yang tidak pernah berubah rentaknya.
Ibu, jika sampai waktunya aku akan kembali meninggalkan kota ini untuk kembali kepadamu.
Kamar Sepi..
Universiti Malaya

SELAMAT TAHUN BARU CINA

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU CINA 2010 KEPADA SEMUA SAHABAT DAN PELAJAR-PELAJAR SAYA, TERUTAMANYA DI PUSAT BIMBINGAN CEMERLANG JAYA DIRI, PUSAT TUISYEN RESTU JAYA, PELAJAR SAYA DI PUTRA HEIGHTS, TAMAN TUN DR ISMAIL DAN DI UNIVERSITI MALAYA.

09 Februari 2010

Jika Hari Ini...

Jika hari ini aku sedih

Hari esok aku akan gembira

Jika hari aku gagal

Hari esok aku akan berjaya

Jika hari ini duka

Hari esok aku akan riang

Jika hari ramai insan menghinaku

Hari esok akan ramai yang memujaku

Jika hari aku miskin

Hari esok aku kan kaya

Jika hari ini masih ada

Hanya Allah yang tahu tentang hari esok.

Bicara Tentang Ego

Ada masanya kita merasakan hanya diri kita yang betul. Ada juga ketikanya kita menjadi lupa, tatkala kita mengatakan diri kita baik, kita sebenarnya tidak baik. Manusia ini sukar melepaskan keegoan yang sering bersarang di hati, keegoan yang sering meletakkan diri lebih baik daripada orang lain. Kenapa, hanya Allah s.w.t yang mengetahui.