15 Disember 2010

Ibu, maaf kerana terlalu lama menanti.

Ibu
Jika lama aku tidak pulang
Itu bukan bermakna anakmu telah melupakanmu
Tetapi kehidupan menghimpitnya di kota ini

Ibu
Kerinduanku pada desa
Bunyi kokokan ayam
Desiran angin meniup pepohonan
Tidak pernah kulupakan
Dalam sepanjang hidupku di kota ini

Ibu
Aku akan kembali kedesa
Membawa sesuatu
Selain daripada diriku.

Kelahiran Dan Tahun Hijrah

Tahun ini agak istimewa kerana kehadiran Tahun Baru Hijrah jatuh pada 7 Disember. Keistimewaan ini adalah kerana ia bertepatan dengan ulang tahun kelahiran saya. Ulang tahun kelahiran saya pada kali ini agak istimewa kerana tiada sambutan yang meriah dan ucapan daripada rakan-rakan dan sahabat juga daripada ahli keluarga. Sama ada mereka lupa atau tidak tahu, itu bukan soalnya. Soalnya ialah saya gembira kerana dengan tiadanya sambutan itu, dapatlah saya berfikir dan merenung masa-masa lalu dan akan datang. Apatah lagi ia bertepatan pada tahun hijrah.

Istimewa juga adalah disebabkan saya berjaya menghantar thesis untuk pemeriksaan. Itu satu kegembiraan kepada saya. Saya berulangkali berdoa agar lulus dalam pengajian sarjana.

Yang paling istimewa juga ialah sepanjang hari yang saya lalui pada hari itu. Terlalu istimewa.