13 November 2012

Wajah Malam

Malam gelap
Berbintang
Berbulan
Hujan rintik dan gerimis menemani

Apa dibimbangkan pada malam
Bukankan mimpi yang datang
Akan pergi tika kau terjaga?

Seorang Tua Dan Sisa Makanan

Aku lihat seorang tua
Mengutip sisa makanan
Dari tong sampah
Yang dikerumuni lalat
Untuk hidangan makan malamnya.

Bajunya koyak
Seluarnya koyak
Auratnya tidak tertutup
Tapi dalam kedaifan
Manusia memandangnya daif
Manusia memandangnya hina
Tatkala simpati telah lama terkubur
Di kota kejam ini.

Aku hanya mampu melihat
Dan menghadiahkan puisi ini kepadanya
Mungkin suatu hari nanti
Ia berpeluang membacanya.

Coretan dan Peribahasa

Pertama
Harus ku nukilkan perihal manusia yang suka berhutang. Ada manusia tersenyum tatkala datang untuk berhutang, tetapi apabila ingin membayarnya, hilang seribu bahasa. Menukar nombor telefon atau mengelak tatkala berselisih di jalanan. Orang seperti ini harus dielakkan bak kata pepatah "Sekali Jalan Kena, Dua Kali Jalan Tahu".

Kedua
Ada ahli keluarga kita, apabila kita minta tolong, sangat susah untuk mereka menolong kita. Tapi kalau mereka minta tolong, senang pula kita memberi pertolongan. Ada juga ahli keluarga dengan keluarga sendiri, bukan main susah nak tolong, tapi orang lain, macam kawan-kawan senang je nak tolong. Tapi apabila mereka mati atau sakit, semua kawan hilang tak mahu tolong. Bagi saya, saya akan balas orang ini dengan peribahasa "Berpatah Arang, Berkerat Rotan".

Ketiga
Ada orang lebih suka mencari keburukan orang lain,  tanpa melihat keburukan diri sendiri. Orang ini ibarat "Ayam Berkokok, Ekor Bergelumang Najis".

Ketika Tangisan Hanya Seperti Desiran Ombak

Malam ini ku dengar ada suara
Berbisik ke kalbu ke sanubari
Melewati jiwa yang dingin dalam hangat
Suara itu ialah suara tangisan
Yang tidak kedengaran
Yang tidak tertafsirkan
Oleh insan tidak berfalsafah

Telah ku dengar tangisan
Berabad-abad lamanya
Bunyinya masih seperti dulu
Isi derita dan pedih didalamnya
Masih seperti dulu
Tiada terhakis oleh ombak
Tiada terurai oleh angin
Tiada lekang dek sinaran matahari.

Tapi hari ini
Tangisan itu tidak lagi kedengaran
Aku tidak pasti
Adakah kerana ia telah menemui Ilahi
Atau ia berfikir sejenak
Dalam samar yang terang

Tapi dalam firasatku
Tangisannya terhenti
Ketika berdekad
Tangisannya hanya seperti desiran ombak.