08 September 2009

UNDERSTANDING SOCIAL SECURITY CONCEPT

PERLINDUNGAN SOSIAL / SEKURITI SOSIAL / KESELAMATAN SOSIAL

Secara amnya, sebutan isilah "Sekuriti Sosial" buat pertama kalinya telah digunakan dalam undang-undang Amerika Syarikat iaitu Akta Keselamatan Sosial 1935. Di peringkat awal, skim ini meliputi risiko usia tua, kematian, hilang upaya dan pengangguran sahaja. Sistem yang mencakupi skop yang lebih luas yang dikenali sebagai insurans sosial telah dicipta oleh kerajaan Jerman di bawah pentadbiran dan pemerintahan Chancellor Otto Von Bismarck pada sekitar tahun-tahun 1883 dan 1889 berikutan tertubuhnya dana insurans sakit untuk semua pekerja yang wajib mencarum. Daripada sistem ini ILO telah mengembangkannya dan diguna pakai oleh kebanyakan negara di dunia pada hari ini.

Perlindungan sosial bukanlah konsep atau institusi baru dalam kalangan masyarakat Malaysia. Diasaskan daripada semangat kerjasama dan tolong-menolong diantara setiap ahli masyarakat dengan matlamat untuk melindungi kepentingan bersama, tema ini akhirnya dikembangkan dan diformalisasikan ke dalam bentuk yang lebih moden selari dengan perubahan dan transformasi keperluan sosial dan ekonomi yang berlaku pada masyarakat. Kini, konsep perlindungan sosial lebih banyak digunakan dalam perbincangan-perbincangan formal dan dokumen-dokumen kerajaan yang berkaitan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), pencen dan persaraan. Bagi masyarakat Malaysia, apabila bercakap mengenai perlindungan sosial sahaja, secara tidak langsung tema ini akan dikaitkan dengan KWSP dan PERKESO

Sekuriti sosial yang dilaksanakan menerusi undang undang setiap negara adalah untuk mengatasi kesengsaraan ekonomi dan sosial sewaktu terhenti atau berlaku pengurangan pendapatan seseorang individu akibat sakit, bersalin, bencana pekerjaan, pengangguran, keilatan, usia tua dan kematian serta peruntukan rawatan dan peruntukan subsidi kepada keluarga yang mempunyai anak yang masih kecil.

Mengikut International Labour Organization- ILO (Pertubuhan Buruh Antarabangsa), sekuriti sosial (terjemahan) bermaksud : bantuan-bantuan yang berbentuk ekonomi dan sosial yang disediakan sendiri oleh masyarakat bagi melindungi mereka dari tekanan tekanan sosio ekonomi yang berpunca daripada perkara-perkara berikut seperti kematian, kecacatan, kemalangan, persaraan dari pekerjaan, sakit, keuzuran, bersalin, pengangguran dan sebarang gangguan dalam kehidupan.

Menurut Kamus Sosiologi dan Kerja Sosial, sekuriti sosial ialah sebarang usaha pengekalan, perlindungan dan pemeliharaan pendapatan sama ada individu dan keluarga yang bertujuan untuk mencegah individu dan keluarga berkenaan daripada jatuh atau berada di bawah paras kemiskinan. Berdasarkan justifikasi tersebut, dapatlah dikatakan bahawa sekuriti sosial sebagai perlindungan kepada ahli-ahli menerusi satu siri pendekatan awam sama ada dibiayai melalui percukaian awam atau dicarum oleh pekerja dan majikan yang wajib seperti yang terdapat dalam skim-skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Tuntasnya, elemen pembiayaan terdiri daripada insurans sosial, bantuan sosial, percukaian awam, faedah keluarga dan dana tabungan.

Tiada ulasan: