26 Mei 2010

MERINGKASKAN KARANGAN


 

Bahagian A (i): Ringkasan

(20 markah)

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis suatu ringkasan tentang punca-punca pencemaran bunyi. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri.


 

Isu pencemaran bunyi sudah menjadi isu yang sering diperkatakan orang disebabkan kesannya ke atas kesihatan. Punca utama yang menimbulkan pencemaran bunyi ialah pertambahan jumlah kenderaan terutamanya di jalan raya. Ini juga menyebabkan kebisingan iaitu daripada hon kereta dan bunyi kenderaan berat.

Kerja di tapak pembinaan dan proses pengeluaran di kilang adalah salah satu faktor yang menyebabkan pencemaran bunyi. Segala proses infrastruktur dan pembinaan bangunan ini semuanya menyumbang kepada masalah pencemaran bunyi. Perkembangan dunia hiburan dan teknologi juga menjadi antara punca wujudnya pencemaran bunyi. Kemunculan pusat hiburan yang menggunakan teknologi tinggi yang pada masa ini banyak peralatan hifi telah dicipta untuk keseronokan. Mereka yang tinggal berhampiran akan mengalami gangguan daripada keadaan tersebut.

Kesan pencemaran bunyi yang ketara ialah gangguan pada organ pendengaran manusia. Pendedahan kepada bunyi yang berlebihan menyebabkan gangguan pada gegendang telinga dan akibatnya seseorang itu boleh menjadi pekak. Ia juga menyebabkan gangguan psikologi dan tekanan emosi kepada seseorang. Dengan perkataan lain, kebisingan boleh menyebabkan kemerosotan prestasi seseorang dan ini tentunya amat merugikan.

Kesimpulannya, segala apa jua jenis pencemaran bunyi boleh menyebabkan kesan negatif kepada kesihatan manusia seterusnya menjejaskan kelancaran aktiviti seharian mereka.


 


 

Bahagian A (ii): Pemahaman

(10 markah)


 

Jawab soalan di bawah berdasarkan petikan di atas.


 

1. Apakah maksud rangkai kata teknologi tinggi             ( 2 markah )


 

2. Huraikan 2 punca berlakunya pencemaran bunyi.             ( 4 markah )


 

3. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus

dilakukan untuk mengurangkan masalah pencemaran bunyi     ( 4 markah )


 


 


 


 


 


 


 


 

Bahagian A (i): Ringkasan

(20 markah)


 

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian tulis sebuah ringkasan tentang
kelebihan tinggal di asrama. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi
80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud petikan asal.


 

    Asrama merupakan kemudahan tempat tinggal pelajar yang disediakan oleh kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia. Biasanya pelajar yang tinggal jauh dan kurang berkemampuan diberi keutamaan untuk tinggal di asrama.


 

    Amat bertuah seseorang pelajar yang mendapat tawaran untuk tinggal di asrama. Bayangkanlah, kerajaan bukan sahaja menyediakan tempat tinggal dan kemudahan belajar, bahkan persekolahan mereka turut dibiayai. Pelajar yang tinggal di asrama perlu patuh dan akur dengan peraturan yang ditetapkan seperti bangun awal, membasuh pakaian dan mengemas tempat tidur sendiri. Situasi ini merupakan satu latihan yang baik bagi memupuk semangat berdikari. Pelajar yang tinggal di asrama tidak perlu membuang masa untuk berulang-alik ke sekolah. Setiap waktu yang ada diisi dengan aktiviti yang berfaedah. Pada sebelah pagi misalnya mereka pergi ke sekolah, waktu petang melakukan aktiviti riadah dan pada sebelah malam pelajar mengulang kaji pelajaran.


 

Keselamatan pelajar – pelajar yang tinggal di asrama turut diberi perhatian. Warden asrama sentiasa melakukan rondaan untuk memastikan keselamatan pelajar terjamin. Selain itu, pelajar juga tidak sewenang-wenangnya keluar masuk asrama. Jika hendak meninggalkan asrama, mereka perlu mendapat kebenaran daripada warden asrama. Perpaduan dalam kalangan pelajar yang tinggal di asrama amat mudah disemai. Meskipun mereka terdiri daripada pelbagai bangsa, agama serta latar belakang keluarga yang berbeza, namun mereka hidup dalam suasana yang aman dan harmoni. Mereka sentiasa bekerjasama, tolong-menolong dan bantu – membantu antara satu sama lain.


 

Memang hidup senang dan mewah sekiranya kita tinggal di asrama. Makanan dan minuman disediakan oleh pihak sekolah. Kebersihan makanan pula terjamin kerana setiap hari warden asrama akan melakukan pemeriksaan kepada pekerja yang menyediakan makanan pelajar. Terdapat sesetengah sekolah yang mempunyai asrama menyediakan pelbagai kemudahan seperti mesin basuh, telefon awam, televisyen, perpustakaan dan sebagainya. Kemudahan tersebut sedikit sebanyak memberi kesenangan dan kemudahan kepada pelajar.


 


 


 


 

Bahagian A (ii): Pemahaman

(10 markah)


 

Berdasarkan petikan
Bahagian A,
jawab soalan – soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.


 


 

1.Berdasarkan petikan, apakah maksud rangkai kata amat bertuah.        ( 2 markah )


 

2. Mengapakah warden asrama selalu melakukan rondaan di asrama?    ( 4 markah )


 

3. Pada pendapat anda, apakah keburukan yang timbul sekiranya kita

tinggal di asrama? ( 4 markah )

Tiada ulasan: