22 November 2011

Tiada Hidup Tanpa Dugaan

Siapa yang hidup
tanpa pernah berasa susah
sedang Nabi kekasih Allah
diuji segala musibah
buat menguji kesabaran
menguatkan kentalnya jiwa
dari cubaan yang mendatang

Tiada kejayaan
yang datang tanpa kegagalan
kerana terbit fajar dan cahaya suria
yang cerah menerangi semesta
sebelumnya ialah malam yang gelita

Hidup ibarat laut
Ada pasang surutnya
Surutnya menggembirakan anak-anak kecil
untuk bermain di tepian pantai
Pasangnya menggembirakan ikan-ikan
untuk bermain di gigi air

Aku ingin seteguh karang
menahan ombak dan badai
yang menghempas tanpa henti
agar ikan-ikan dapat membiak
dan bebas berenang menjelajah samudera

Seorang Guru dan Ibu Bapa

Berapa ramai di antara kita
mengucapkan terima kasih
kepada guru yang mengajar
sehingga kita berjaya?

Sangat ramai di antara kita
berbangga apabila berjaya
menggapai impian dicita
dan lupa kepada guru sang pendeta

Sangat ramai di antara
menyalahkan guru yang memudah cara
apabila anak kita kecewa
mencapai impian mereka

Seorang bapa mungkin berkata
jika anaknya berjaya
adalah kerana menurut keturunanya
yang bijak-bijak belaka

Ada juga seorang bapa
jika anaknya gagal dan lemah
kurang ajar dan biadap
ianya kerana gurunya gagal mendidik

Seorang guru yang memang jiwanya pendidik
Tidak terkesan dengan segalanya

Tetapi seorang ibu dan bapa
yang sombongnya setinggi langit
tidak lebih darjatnya
daripada ulat dan cacing di dalam tanah.



21 November 2011

Aku Melihat...Seorang Budak Miskin

Aku melihat
ada seorang budak miskin
berjalan kaki ke sekolah
berkasut getah
di sakunya hanya berisi cekal dan semangat
lahir dari hatinya... bukan dari dorongan orang lain

Aku melihat
ada seorang budak miskin
duduk di tepi tangga sekolah
ketika waktu rehat
menjamah lapar dan dahaga
yang mampu dibelinya
hanyalah sepotong keinginan
untuk mengalas lapar perutnya

Aku melihat
ada seorang budak miskin
tidak punya buku dan pensel
untuk menulis cita-citanya
dia mengutip di bawah sekolah
sisa-sisa pensel yang kontot
untuk melakar cita-citanya yang menggunung

Aku melihat
seorang budak miskin
tidak dapat membaca masa depannya
kala malam yang gelita
kerana pelita minyak tanah
selalu kering dan lelah untuk bercahaya
dia hanya sabar
menanti sinar suria

Aku melihat
seorang budak miskin
hanya tidur dilantai papan
berselimutkan pelikat lusuh
kerana kedinginan malam adalah teman sejatinya

Aku melihat
seorang budak miskin
melihat derita adalah dia
dan dia adalah derita
Sepanjang hidupnya yang telah berlalu.


Kini
aku masih melihat
kelibatnya yang bersulam azam
seperti zaman silamnya