18 Jun 2009

KATA SENDI NAMA

KATA SENDI NAMA

Kata Sendi Nama ialah kata yang hadir di hadapan frasa nama yang mempunyai fungsi tertentu.
Yang berikut ialah panduan menggunakan kata sendi nama.

UNTUK
Penggunaan : Menunjukkan kegunaan sesuatu; maksud bahagian yang telah diperuntukkan.
Ayat : Gamat digunakan untuk mengubati pelbagai penyakit.
Buah limau itu saya bawa untuk awak.

TERHADAP
Penggunaan : Menunjukkan maksud rujukan yang melibatkan penyambut yang tentu sama ada manusia, haiwan atau benda.
Ayat : Kita mestilah mempunyai rasa kasih dan sayang terhadap ibu bapa.
Saya bersimpati terhadap anak kerbau yang dibaham oleh harimau semalam.

TENTANG
Penggunaan : Menunjukkan maksud rujukan sesuatu yang tidak tentu atau umum.
Ayat : Novel "Impian" itu berkisar tentang kegigihan seorang remaja menuntut ilmu.

SEPERTI / BAGAI
Penggunaan : Menunjukkan perbandingan
Ayat : Hatinya keras seperti batu.
Azmer kelihatan pucat lesi bagai dikejar hantu.

SEJAK/SEMENJAK
Penggunaan: Menunjukkan masa atau waktu
Ayat: Sejak bapanya meninggal dunia, dia lebih suka menyendiri.

PADA
Penggunaan: Menunjukkan masa atau waktu; tempat; ada pada (manusia dan haiwan)
Ayat: Pada waktu petang Rajesh menghambat kambingnya ke kandang.
Saya berpaut pada dahan pokok itu.
Jam tangan kamu ada pada saya.

(Kata sendi yang lain termasuklah; oleh, kepada, ke, hingga, sampai, sehingga, di, demi, dengan, daripada, dari, dalam/antara, bagai, akan)

Tiada ulasan: