02 Mei 2012

ELEMEN 3 : FOLIO SEJARAH PMR 2012


Malaysia sebagai sebuah negara merdeka telah mengorak langkah untuk maju setanding dengan negara lain dalam pelbagai bidang. Kemajuan yang dikecapi oleh negara adalah hasil usaha pemimpin dan rakyat yang berganding bahu mengemudi pembangunan negara ke mercu kejayaan. Dalam sebuah negara merdeka, setiap warganegara perlu menunjukkan semangat patriotik kepada negara. Semangat patriotik yang ditunjukkan termasuklah dengan membeli barangan buatan tempatan. Dengan membeli barangan buatan tempatan, kita akan membantu memajukan industri dalam negara yang diusahakan oleh anak tempatan.
            Sebagai seorang pelajar, saya sangat berbangga apabila menggunakan barangan buatan tempatan. Selain daripada mutu dan kualitinya setanding barangan import, barangan tempatan juga turut diminati oleh pelancong asing. Misalnya dalam aspek industri pemakanan, pelancong asing mengemari makanan Malaysia seperti nasi lemak dan roti canai. Malah begitu juga dengan industri batik yang turut menarik minat pelancong untuk membelinya sebagai buah tangan atau tanda kenang-kenangan. Maka apabila saya menggunakannya, rasa bangga tersebut bersebati dengan semangat muhibah dan bersatu kerana barangan yang dihasilkan oleh masyarakat majmuk dikongsi dalam semangat kekitaan.
            Selain itu, melalui slogan tersebut, saya terdetik untuk terus menggunakan barangan tempatan setelah melihat sendiri kerajinan dan kegigihan pengusaha industri tempatan memajukan jenama dan produk tempatan. Maka sebagai rakyat Malaysia, saya berpendapat sudah tiba masanya untuk kita sama-sama menunjukkan semangat cinta akan negara dengan membeli barangan tempatan yang mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan produk import.
            Dalam menjunjung semangat mengutamakan barangan tempatan, nilai bermuafakat tersemai dalam diri saya. Untuk memajukan industri dan barangan tempatan, pekerja sama ada dalam industri batik mahupun makanan mengamalkan nilai bermuafakat untuk menjayakan sesuatu produk. Semua ini dilakukan untuk menghasilkan produk yang hebat. Maka produk yang hebat ini tidak akan berjaya jika masyarakat tidak membelinya, atau dalam erti kata lain menyokong dan membeli barangan buatan tempatan.
            Berkaitan dengan hal itu, masyarakat perlu bertanggungjawab dan bersikap adil dalam menilai barangan buatan tempatan. Persepsi negatif perlu dielakkan kerana akan menjadi batu penghalang kepada kemajuan produk tempatan. Sikap tersebut juga menggambarkan terhakisnya semangat patriotik dalam diri seseorang warganegara. Kita perlu mengelakkan sikap mengagungkan produk import, sebaliknya menunjukkan semangat patriotik yang tinggi dengan menggunakan barangan buatan tempatan. Tuntasnya, pengalaman yang dilalui sepanjang menjalani kajian telah dapat menanam semangat patriotik yang lebih tinggi dalam diri saya.

2 ulasan:

sal.suke.coklat berkata...

WAH..terima kasih ya! adakah yang di'bold'kan itu perlu digariskan semasa menulis semula di dalam esei nanti?

daniel berkata...

iye,,