Malaysia
sebagai sebuah negara merdeka telah mengorak langkah untuk maju setanding
dengan negara lain dalam pelbagai bidang. Kemajuan yang dikecapi oleh negara
adalah hasil usaha pemimpin dan rakyat yang berganding bahu mengemudi
pembangunan negara ke mercu kejayaan. Dalam sebuah negara merdeka, setiap
warganegara perlu menunjukkan semangat patriotik kepada negara. Semangat
patriotik yang ditunjukkan termasuklah dengan membeli barangan buatan tempatan.
Dengan membeli barangan buatan tempatan, kita akan membantu memajukan industri
dalam negara yang diusahakan oleh anak tempatan.
Sebagai seorang pelajar, saya sangat
berbangga apabila menggunakan barangan
buatan tempatan. Selain daripada mutu dan kualitinya setanding barangan
import, barangan tempatan juga turut diminati oleh pelancong asing. Misalnya
dalam aspek industri pemakanan, pelancong asing mengemari makanan Malaysia
seperti nasi lemak dan roti canai. Malah begitu juga dengan industri batik yang
turut menarik minat pelancong untuk membelinya sebagai buah tangan atau tanda
kenang-kenangan. Maka apabila saya menggunakannya, rasa bangga tersebut
bersebati dengan semangat muhibah dan
bersatu kerana barangan yang dihasilkan oleh masyarakat majmuk dikongsi dalam
semangat kekitaan.
Selain itu, melalui slogan tersebut,
saya terdetik untuk terus menggunakan barangan tempatan setelah melihat sendiri
kerajinan dan kegigihan pengusaha
industri tempatan memajukan jenama dan produk tempatan. Maka sebagai rakyat
Malaysia, saya berpendapat sudah tiba masanya untuk kita sama-sama menunjukkan semangat cinta akan negara dengan
membeli barangan tempatan yang mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi
dengan produk import.
Dalam menjunjung semangat mengutamakan
barangan tempatan, nilai bermuafakat tersemai
dalam diri saya. Untuk memajukan industri dan barangan tempatan, pekerja sama
ada dalam industri batik mahupun makanan mengamalkan nilai bermuafakat untuk
menjayakan sesuatu produk. Semua ini dilakukan untuk menghasilkan produk yang
hebat. Maka produk yang hebat ini tidak akan berjaya jika masyarakat tidak
membelinya, atau dalam erti kata lain menyokong dan membeli barangan buatan
tempatan.
Berkaitan dengan hal itu, masyarakat
perlu bertanggungjawab dan bersikap adil
dalam menilai barangan buatan tempatan. Persepsi negatif perlu dielakkan kerana
akan menjadi batu penghalang kepada kemajuan produk tempatan. Sikap tersebut
juga menggambarkan terhakisnya semangat patriotik dalam diri seseorang
warganegara. Kita perlu mengelakkan sikap mengagungkan produk import,
sebaliknya menunjukkan semangat patriotik yang tinggi dengan menggunakan
barangan buatan tempatan. Tuntasnya, pengalaman yang dilalui sepanjang
menjalani kajian telah dapat menanam semangat patriotik yang lebih tinggi dalam
diri saya.
2 ulasan:
WAH..terima kasih ya! adakah yang di'bold'kan itu perlu digariskan semasa menulis semula di dalam esei nanti?
iye,,
Catat Ulasan