25 Disember 2009

HUJAN AIR MATA MEMBANJIRI HATI

Hujung tahun terasa menyedihkan. Entah kenapa aku menjadi seperti 5 tahun yang lalu. Bersedih dan sering bersedih. Kadang-kadang aku melihat diriku terlalu lemah melawan arus yang melanda. Tapi aku tidak mengerti kenapa jiwaku mudah menjadi begitu. Tapi kurasa seperti ada kekecewaan yang teramat rahsia. Hingga kini belum pernah kukatakan pada sesiapa. Biarlah antara aku dengan Allah s.w.t. Sesiapa sahaja boleh mengatakan dan mencari segala kelemahan dalam diriku. Tapi aku akan memendam apa yang terbuku dihatiku. Biarlah sesiapapun menghamburkan segala kata-kata dan prasangka, namun aku akan tetap berdiam diri. Berdiam diri dan berjalan di serpihan kaca kata-kata yang mengaibkan diriku. Walau lukanya terlalu pedih, tapi tidak sepanjang jalan akan kulalui serpihan kaca yang melukakan itu.

Wahai angin, hembuskanlah padaku kedinginan dan kesegaranmu pada jiwaku yang gundah..
Wahai mentari, sinarilah kelopak mataku agar airmata yang bergenang kering dan tidak tumpah..

Pernah sekali aku memandu terlalu laju (160km/j). Dan kurasa ketika itu kereta bergerak terlalu perlahan seperi dalam kesesakan lalulintas. Jiwaku kosong dan sedih. Pernah juga aku membaca buku dan journal dari pagi sampai malam tanpa makan. Semuanya berlaku akhir-akhir ini.

Hujan airmata terus membasahi jiwa dan perasaan ku, kolam hatiku dibanjiri limpahan pilunya.

KERJA, TENSION DAN PENYAKIT BODOH

Hari ini Hari Jumaat, kebetulan pula cuti umum sempena hari Krismas. Tapi saya menguatkan diri juga ke pejabat. Apa tidaknya, pada semester depan tanggungjawab saya amat berat. Mengikut apa yang telah di mesyuaratkan pada Rabu lalu, nampaknya saya perlu mengajar tutorial kepada 4 subjek. Ini perkara yang paling saya tidak suka kerana banyak menganggu kerja penyelidikan yang amat berat. Tidak cukup dengan itu, saya dan calon Ijazah Tinggi yang lain perlu membuat seminar "Candidature Defence". Kononnya ini syarat tambahan. Saya tidak faham dengan peraturan ini. Selanjutnya perlu pula membentangkan satu kertas kerja dalam seminar peringkat antarabangsa atau kebangsaan. Ini tidak jadi masalah, kalau bentang setiap bulan pun saya seronok, tak ada hal. Yang saya naik angin dan bengang tahap kritikal ni, jabatan suruh pula cari seminar dan mohon sendiri. 2 semester yang lalu, kata jabatan akan buat, sekarang kena cari sendiri. Ini menunjukkan macam ramai sangat "Orang Bodoh" di dunia ini. Ini belum campur lagi segala birokrasi "Bodoh" yang sememangnya menunjukkan "Kebodohan" segelintir pihak yang menguruskan surat kebenaran penyelidikan di Jabatan Pelajaran (Negeri). Orang macam ni baik buat macam dalam gambar kat atas tu.

24 Disember 2009

TAHNIAH.. TERCAPAI CITA-CITA

Tahniah kepada pelajar-pelajar yang mendapat
keputusan cemerlang dalam PMR.
Kita bertemu lagi tahun depan untuk tuisyen
Bahasa Melayu dan Sejarah Tingkatan 4

23 Disember 2009

DARI JENDELA SEPI

Tidak dapat ku mengerti
Hatiku menangis dalam tawa orang ramai
Hatiku pedih dalam riang teman-teman

Tidak dapat ke mengerti
Kenapa sering aku dilanda ribut perasaan
Sedang aku perlu tabah
Melalui.. walau ramai yang sering mengata

Biarlah aku di sini
Membuang pandangan dari jendela sepi.


Ibrahim
Universiti Malaya

RENUNGAN

Daripada Anas bin Malik r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan terjadi Khiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti sejam dan sejam dirasakan seperti satu pertikan api".

-Hadis Riwayat Tarmizi-

22 Disember 2009

BILA KERJA NI NAK SIAP?

Dah nak masuk hujung tahun. Minggu depan pelajar universiti pula dah nak kembali, kembali je mereka maksudnya kena mengajar. Kerja pula bertimbun-timbun. Bilalah kerja ni semua nak siap?

21 Disember 2009

PELANCONGAN

Sepanjang panjang tahun 2008, Malaysia telah dikunjungi oleh 22 juta orang pelancong menyumbangkan pendapatan sebanyak RM48 bilion kepada negara. Oleh itu, langkah-langkah perlu diambil untuk memajukan lagi industri ini.

Langkah pertama yang boleh dilakukan untuk menarik kedatangan pelancong adalah dengan mengadakan prasarana pelancongan yang selesa, jimat, mencukupi dan mudah. Penyediaan hotel, chalet, tandas, pengangkutan, bekalan air dan elektrik adalah penting untuk pembangunan industri pelancongan. Kerap berlaku pelancong terkandas atau terlewat sampai ke destinasi akibat masalah pengangkutan, misalnya untuk ke Taman Negara dan lain-lain destinasi di pedalaman. Kerap berlaku juga masalah tandas yang terhad dan berbau busuk, selain bekalan air dan elektrik yang kerap meragam. Prasarana ini hendaklah dijaga agar pelancong tertarik untuk berkunjung lagi ke sini.

Berdasarkan rekod Perbadanan Pelancongan Malaysia (TDC), pelancong asing yang datang ke sini bukan sekadar untuk menikmati keindahan alam semula jadi negara, bahkan juga untuk membeli-belah. Oleh itu, pihak berkuasa perlu menghapuskan atau mengurangkan cukai belian barangan di negara ini. Selain itu, peraturan-peraturan imigresen perlu dilonggarkan kepada mereka yang berhasrat melancong ke negara ini. Manakala pusat-pusat perkhidmatan tukaran wang asing perlu ditambah dan disediakan di lokasi-lokasi yang strategik seperti di hotel, pusat pelancongan dan pekan-pekan kecil. Dengan adanya kemudahan-kemudahan ini, para pelancong akan tertarik untuk berkunjung ke Malaysia.

Langkah seterusnya yang boleh diambil ialah mengadakan kempen-kempen dan promosi pelancongan. Kementerian Pelancongan boleh mengadakan kempen ini di dalam atau di luar negeri. Pusat-pusat penerangan pelancongan serta rombongan-rombongan kebudayaan dan kesenian ke luar negara harus ditambah. Ini bertujuan mendedahkan keindahan alam semula jadi dan keunikan hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini kepada masyarakat luar. Manakala pelancong dalam negara pula boleh ditarik dengan mengadakan kempen-kempen pelancongan menerusi media ataupun risalah. Program seumpama Cuti-cuti Malaysia oleh TV3 perlu diteruskan agar masyarakat mengetahui keindahan negara kita. Ini sekali gus akan mendorong mereka untuk melancong dan berehat di sini.

Di samping itu, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil bagi menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Kita tidak seharusnya lupa dengan gelagat segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan ke atas pelancong. Oleh itu, Unit Keselamatan Pelancong perlu ditubuhkan untuk membantu pihak polis menangani jenayah ke atas pelancong. Kejadian-kejadian rogol, mencabul kehormatan, menghendap, peras ugut, rompak dan tipu harus ditangani secepat mungkin. Ini perlu dilakukan agar pelancong asing terus berkunjung ke negara ini dan memelihara imej negara.

Langkah menarik pelancong juga boleh dilakukan dengan mengadakan pameran kejohanan sukan bertaraf dunia. Im termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA), Kejohanan Kereta Formula Satu dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan meluas. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan berterusan tanpa menunggu musim-musim tertentu sahaja. Dengan cara ini, kita dapat mengekalkan pulangan yang diperoleh danpada kedatangan pelancong ke negara kita.

Kesimpulannya, memang diakui pelancongan merupakan suatu industri yang cukup berpotensi dan begitu menguntungkan. Namun, dalam keghairahan menarik pelancong, kita janganlah lupakan kesan buruk yang boleh menimpa masyarakat kita seperti gejala `black metal', seks bebas dan minum arak.

Sumber : http://mazlan66.wordpress.com

20 Disember 2009

RENUNGAN

"Wahai orang-orang yang beriman sekiranya datang kepada kamu orang fasik dengan berita-berita maka siasatlah (terlebih dahulu) kebenarannya (kerana bimbang) kalau-kalau kamu mengenai sesuatu kaum tanpa pengetahuan, lalu kamu menyesal atas perbuatanmu

(al-hujurat:6)

18 Disember 2009

SOALAN KARANGAN

KARANGAN UCAPAN/SYARAHAN/CERAMAH

Anda sebagai pegawai sukan daerah diminta menyampaikan syarahan kepada penduduk kampung bersempena dengan perasmian pusat suka di kampung anda. Tajuk syarahan anda ialah "Perpaduan Masyarakat Melalui Sukan".

Sediakan teks syarahan anda.

Pesanan Kepada Pelajar : Model karangan, dan perbincangan tajuk ini akan diadakan dalam kelas.

SELAMAT TAHUN BARU

SALAM MAAL HIJRAH

Kepada rakan-rakan dan pelajar-pelajar, saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah.

Marilah kita berhijrah menuju kehidupan yang lebih baik.


 

17 Disember 2009

KEPUTUSAN PMR 2009

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 akan diumumkan pada 24 Disember ini, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, calon-calon boleh mendapatkan keputusan dari sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi pada hari berkenaan, manakala calon persendirian akan mendapat keputusan masing-masing menerusi pos.

Seramai 475,182 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut. - Bernama

JANGAN BIAR AIR MATA BERGUGURAN

Air mata
Jangan lagi kau gugur
Tatkala melewati musim mendatang
Kerana tidak ada gunanya
Kau datang mengundang sedih
Ibrahim
Universiti Malaya

13 Disember 2009

KARANGAN KEPERILAHAN

Rakyat Malaysia menyambut pelbagai hari perayaan dengan meriah.
Gambarkan kemeriahan hari perayaan tersebut.

11 Disember 2009

PERUMPAMAAN DAN MAKSUDNYA

PELAJARAN MINGGU INI (Menengah Rendah)

Bagai Berumah Di Tepi Tebing
Maksud : Kekhuatiran atau kebimbangan

Bagai Bulan Dipagari Bintang
Maksud : Kecantikan gadis yang tiada bandingannya

Bagai Melepaskan Batuk Di Tangga
Maksud : Membuat sesuatu kerja tetapi tidak selesai/ membuat kerja separuh jalan.

Bagai Pelita Kehabisan Minyak
Maksud : Keadaan yang sudah tidak berseri lagi

Laksana Garam Dengan Asam
Maksud : Kalau sudah ada jodoh akan ketemu juga berapa pun jauhnya

Seperti Katak, Sedikit Hujan Banyak Bermain
Maksud : Orang yang suka membesar-besarkan perkara yang kecil

LATIHAN
1. Membina Ayat Bagi Setiap Peribahasa Yang Diberikan
2. Menulis Karangan Jenis Cerita/Peribahasa Dengan Menilih Mana-mana Satu Peribahasa

10 Disember 2009

AKIBAT MALAS MEMBACA

Minggu ini keputusan Peperiksaan Semester Pertama di Universiti telah ditampal untuk tatapan pelajar. Saya pada semester ini mengendalikan kelas tutorial bagi dua subjek wajib. Tetnyata pencapaian pelajar kali ini amat lemah lantaran sikap malas membaca yang menular dalam diri pelajar. Pelajar Melayu kebanyakannya yang saya ajar boleh dikatakan malas membaca. Kalau buku bahasa Melayu pun malas untuk dibaca, maka apatah lagi jika kita mengarahkan untuk membaca buku bahasa Inggeris.
Ketika saya menjadi pelajar Ijazah Pertama, saya meluangkan masa untuk membaca melebihi segala-galanya. Pagi, Petang dan Malam. Masa terluang jika kelas dibatalkan akan saya gunakan untuk membaca. Membaca itu pada saya menajamkan minda dan pemikiran. Tapi pelajar Melayu sekarang yang saya ajar, kelihatannya agak malas membaca. Sibuk mungkin dengan aplikasi teknologi seperti komputer dan telefon bimbit.
Akibatnya 50 peratus pelajar gagal dan perlu menduduki semula subjek ini pada semester akan datang. Kerana subjek ini wajib, maka pelajar tiada pilihan. Semuanya akibat sikap malas membaca dan berfikir. Mengharapkan dan bergantung semata-mata kepada nota kuliah. Kepada pelajar-pelajar ini, selamat menempuh alam universiti untuk tempoh 4 tahun. Juga jangan lupa, mulalah memikirkan wang untuk membiayai semester tambahan kerana PTPTN hanya akan diberikan sehingga tahun ketiga.

08 Disember 2009

BINGKISAN ULANGTAHUN

Ketika 7 Disember menjelang tiba
Hatiku hiba, bercampur duka
Sedih hatiku tidak terkata
Hari jadiku seperti tiada makna

Aku bertanya kepada bulan
Pada masa aku dilahirkan
Betulkah kelam cahayanya sang bulan
Atau malam hiba dengan pekat warna awan

Wahai sang suria
Kenapa kau tidak gembira
Kenapa kau tidak tersenyum ria
Mana pergi sinar cahaya

Aku bersendirian dalam riuh kota
Ditemani kenangan sedasawarsa
Mengutip sisa-sisa hidup kecewa
Dalam kolam air mata
Yang tidak pernah ku tahu bila kontangnya
Seorang Insan
Universiti Malaya, KL

02 Disember 2009

SEMALAM DAN MIMPI

Semalam aku memandu kereta meluncur laju membelah kesibukan kota. Dalam hatiku terlalu sedih mengenangkan hari-hariku. Seharian aku duduk di pejabat ku. Ku kunci. tiada sesiapa boleh masuk. Kalau ada yang mahu jumpa kena telefon atau sms. Sebabnya aku ingin membaca hampir 30 journal berbahasa Inggeris. Rasa mahu pecah terburai segala isi kepalaku.
Aku berhenti singgah makan di Secret Recepie. Minum kopi dan makan (tak tahu apa nama menu tu tapi sedap) sambil memandang orang yang lalu lalang. Habis makan aku membayar dengan harga RM 25.00. Kalau makan rojak dengan cendol baru RM 4.00. Tapi apalah nak jimat sangat, gaji dan pendapatankan lain kan ada. Kenapa nak kedekut sangat.

Tapi aku tak tahu kenapa aku sedih, mungkin terlalu penat dengan kerja.

Malamnya aku tertidur lalu bermimpi bertemu Laksamana Hang Tuah. Laksamana menasihatiku agar tidak sedih kerana banyak kerja yang perlu aku lakukan untuk bergelar Dr atau Profesor muda. Aku terjaga lalu bangun menuju bilik air untuk mandi dan kemudian meneruskan hari seperti biasa. Aku masih berfikir tentang semalam dan mimpiku.