28 Jun 2009

MEMORI LUKA.. KENA LAGU SESEDIH ITU?


Ada ramai kawan-kawan bertanya, kenapa saya menggunakan lagu sedih dalam blog saya. Sebenarnya lagu itu menyimpan seribu satu kenangan tentang kepahitan hidup yang pernah saya alami. Memori luka itu ialah derai-derai air mata dan kepayahan hidup yang pernah saya lalui. Kemiskinan dan derita, kelaparan dan kehausan serta kepayahan. Saya dahulu begitu miskin dan payah kehidupan keluarga saya. Saya bangkit dan berazam untuk mengubah hidup dan keluarga. Saya tidak ingin terus-terusan melihat ibu menderita kemiskinan dan ayah kepayahan. Jadi memori luka itu adalah sejarah kepayahan dan kepahitan hidup saya tatkala bersekolah. Namun Alhamdulilah kini, hidup saya banyak berubah berkat rezeki dari Allah dan kerja keras serta kesabaran.

18 Jun 2009

Analisis Cerpen

ANALISIS CERPEN TINGKATAN 1 : ANTOLOGI SEHIJAU WARNA DAUN

HADIAH HARI GURU
Sinopsis
Ramli, anak yatim yang hidup dalam keadaan kemiskinan. Ramli tinggal bersama dengan ibunya, Mak Sopiah dan dua orang adiknya. Sempena Hari Guru yang akan disambut di sekolahnya, Ramli berhajat untuk menghadiahkan sesuatu kepada gurunya, Cikgu Fatimah. Ibu Ramli berasa sedih kerana tidak dapat memenuhi hajat anaknya itu. Ramli telah mengambil keputusan untuk menghadiahkan ulam pucuk janggus kepada Cikgu Fatimah. Awal-awal lagi Ramli telah menyerahkan hadiahnya itu. Cikgu Fatimah berasa terharu apabila membaca nota yang ditulis oleh Ramli. Lantaran itu, Cikgu Fatimah mengambil keputusan untuk mengambil Ramli sebagai anak angkatnya. Pihak sekolah juga berjanji akan memberi bantuan kepada Ramli dan pelajar-pelajar miskin yang lain.
Tema : Ketulusan hati seorang pelajar yang menghargai jasa guru
Persoalan : Menghargai jasa guru; Kemiskinan; Pengorbanan seorang ibu

KATA SENDI NAMA

KATA SENDI NAMA

Kata Sendi Nama ialah kata yang hadir di hadapan frasa nama yang mempunyai fungsi tertentu.
Yang berikut ialah panduan menggunakan kata sendi nama.

UNTUK
Penggunaan : Menunjukkan kegunaan sesuatu; maksud bahagian yang telah diperuntukkan.
Ayat : Gamat digunakan untuk mengubati pelbagai penyakit.
Buah limau itu saya bawa untuk awak.

TERHADAP
Penggunaan : Menunjukkan maksud rujukan yang melibatkan penyambut yang tentu sama ada manusia, haiwan atau benda.
Ayat : Kita mestilah mempunyai rasa kasih dan sayang terhadap ibu bapa.
Saya bersimpati terhadap anak kerbau yang dibaham oleh harimau semalam.

TENTANG
Penggunaan : Menunjukkan maksud rujukan sesuatu yang tidak tentu atau umum.
Ayat : Novel "Impian" itu berkisar tentang kegigihan seorang remaja menuntut ilmu.

SEPERTI / BAGAI
Penggunaan : Menunjukkan perbandingan
Ayat : Hatinya keras seperti batu.
Azmer kelihatan pucat lesi bagai dikejar hantu.

SEJAK/SEMENJAK
Penggunaan: Menunjukkan masa atau waktu
Ayat: Sejak bapanya meninggal dunia, dia lebih suka menyendiri.

PADA
Penggunaan: Menunjukkan masa atau waktu; tempat; ada pada (manusia dan haiwan)
Ayat: Pada waktu petang Rajesh menghambat kambingnya ke kandang.
Saya berpaut pada dahan pokok itu.
Jam tangan kamu ada pada saya.

(Kata sendi yang lain termasuklah; oleh, kepada, ke, hingga, sampai, sehingga, di, demi, dengan, daripada, dari, dalam/antara, bagai, akan)

12 Jun 2009

CERPEN SPM

LAMBAIAN MALAR HIJAU
Sinopsis
Cerpen ini mengisahkan seorang remaja lelaki masyarakat Orang Asli yang bernama Daneng. Dia seorang yang bijak tetapi enggan belajar lagi. Cikgu Jo telah berjaya memujuknya. Daneng menjadi seorang pakar perhutanan yang disegani di seluruh dunia. Dia dianugerahi gelaran Datuk dan menerima Hadiah Nobel kerana sumbangannya memelihara dan memulihara alam sekitar.
ANNYSS SOPHILLEA
Sinopsis
Cerpen ini mengisahkan kehidupan makhluk asing yang mengembara ke bumi untuk mencari saudara kembarnya. Annyss Sophillea berkenalan dengan Akmal. Saudara kembar Annyss telah diculik sepupunya, Strenn kerana berebut takhta di Alstonia. Akhirnya Akmal membunuh Strenn. Nasib Akmal masih samar kerana sesiapa yang membunuh di Alstonia akan turut mati.
VIRUS ZEL UNTUK ABAH
Sinopsis
Zel terlalu marah kepada abahnya, Auntie Syarifah dan saudara-saudara tirinya. Zel tinggal dengan mamanya, seorang ibu tunggal dan tidak mendapat kasih sayang abahnya. Oleh sebab itu, Zel bercadang hendak merosakkan perisian komputer abahnya. Rancangan tersebut dibatalkan setelah Win menasihatkannya melalui perbualan di komputer.
(Nota ini akan disambung dengan perbincangan meliputi tema, persoalan, plot, watak dan perwatakan, latar, sudut pandangan, gaya bahasa, nilai dan pengajaran)

SEJARAH TINGKATAN 4

BAB 6 : PEMBENTUKAN KERAJAAN ISLAM DAN SUMBANGANNYA

Konsep Khalifah
Khalifah bererti pengganti, pengganti yang melaksanakan tanggungjawab pemerintahan atau pentadbiran kerajaan. Khalifah bertanggungjawab memelihara dan mengekalkan keharmonian Islam.
Syarat-syarat Menjadi Khalifah
  • Lelaki yang merdeka
  • Beragama Islam
  • Memiliki pengetahuan tentang Islam
  • Mematuhi perintah Allah
  • sanggup melaksanakan hukum Allah
  • Adil, sihat, berfikiran cerdas
  • Berakhlak, warak
  • Pandai mentadbir kerajaan

Cara Pemilihan

  • Musyawarah/Syura
  • Cadangan satu nama
  • Pemilihan beberapa calon
  • Pencalonan oleh sekelompok masyarakat

(Ikuti sambungan; Sumbangan 4 khalifah dalam Islam, Kerajaan Bani Umaiyah, Bani Abbasiyah, Turki Uthmaniyah, Faktor Penyebaran Islam ke Eropah, Kesan Pertembungan Agama dan Budaya Eropah, Cara Pertembungan Tamadun Islam dengan Tamadun Dunia)

IMPLIKASI PENCEMARAN TERHADAP MANUSIA

IMPLIKASI PENCEMARAN TERHADAP MANUSIA

Pendahuluan
Pelbagai bentuk pencemaran alam sekitar berlaku di negara kita. Keadaan ini amat membimbangkan kerana mendatangkan kesan terhadap kehidupan kita.

Isi Penting
1. Menyebabkan pemanasan global - perubahan cuaca - menyebabkan bencana alam - menjejaskan kehidupan manusia.
2. Kepupusan flora dan fauna - penebangan hutan secara berleluasa - mengakibatkan bencana alam.
3. Menjejaskan sumber pendapatan - tumpahan minyak memusnahkan hidupan laut - menjejaskan sumber pendapatan nelayan.
4. Menjejaskan ekonomi - kemusnahan tanaman atau kawasan pertanian oleh banjir atau kemarau akibat pencemaran.
Penutup
Pencemaran alam - masalah sejagat - harus ditangani oleh semua pihak.

Cadangan Peribahasa
  • Malang tidak berbau
  • Sehelai sepinggang
  • Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

04 Jun 2009

10 ATAU 8 MATA PELAJARAN MERINGANKAN PELAJAR

8 ATAU 10 MATA PELAJARAN, YANG MANA PILIHAN ANDA?
Tatkala kerajaan mengumumkan bahawa calon SPM bermula tahun 2010 hanya dibenarkan mengambil 10 mata pelajaran, maka ramai pelajar yang gembira. Gembira kerana tidak perlu mengambil begitu banyak mata pelajaran sehingga menjejaskan kehidupan sosial mereka. Dengan mengambil maksimum 10 dan minimum 8 mata pelajaran, seseorang pelajar boleh menumpukan minat pada kecenderungan masing-masing. Saya secara objektif bersetuju dengan cadangan kerajaan mengurangkan mata pelajaran yang diambil dan berharap kerajaan akan menyelesaikan segera isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam B.Inggeris. Menyelesaikan bermaksud membuat keputusan yang jelas sama ada meneruskan atau ada perubahan dalam sistem sedia ada.