10 November 2016

Buat Anak-anakku

Segaris senyum yang terukir
adalah penawar kelelahan
daripada setiap kerenahmu
yang membunuh setiap resahku
dalam mengejar musim
yang terlalu laju
meninggalkan hari
berwarna pelangi.

Anakku
aku mahu kau memanjat usia
dengan senyum dan tawa
dengan riang dan girang
buang tangisan
buang derita dan nestapa
ke kejauhan dan kepekatan malam
agar esok tika kau terjaga
kau mampu melihat bunga-bunga hidup
yang mekar menghiasi usia.

18 Disember 2013

MEMANCING DI BAGAN LALANG

MEMANCING

Jika anda berminat memancing di Bagan Lalang, maka anda mestilah tahu serba sedikit tentang pancingan di sini. Selain apa yang saya kisahkan ini, terdapat juga tulisan lain tentang perkara ini di blog yang lain. Catatan ini tidak akan menceritakan tentang pancingan di kawasan kelong, tetapi di kawasan pantai.
Memancing sekitar pantai Bagan Lalang hendaklah menggunakan umpan hidup dan pada masa air pasang penuh. Jika anda menggunakan umpan lain, boleh juga dapat ikan, tetapi ikan duri atau belukang. Anda boleh memancing di kawasan yang mempunyai tembok batu atau atau kawasan lain, kecuali kawasan berhampiran hotel atau jauh dari pengunjung yang mandi manda.
Masa terbaik memancing ialah sekitar 4 pagi hingga 7 pagi. Sebelah petang 6 petang hingga 9 malam. Maksudnya anda mesti melihat jadual air pasang pada waktu tersebut.
Pengalaman saya di kawasan ini, berjaya menaikkan siakap 0.5 kg, Senangin 0.4 kg dan gelama saiz tiga jari. Tapi ingat, umpan udang hidup. Anda juga boleh memancing mengikut arus surut ke dasar laut jika anda rajin, tatkala air mula surut.

IKAN BAKAR BAGAN LALANG

Anda boleh makan ikan bakar atau masakan panas yang lain di mana-mana kedai. Tapi saya nasihatkan elakkan makan di sebuah kedai makan yang terdapat di kawasan medan selera. Kedai itu ialah kedai bernombor 3 dan bersignbord warna merah. Kenapa?
Saya selalu makan di Bagan Lalang jika pergi ke bagan lalang. Masalahnya suatu hari saya try kedai ini. Ambil satu ekor ikan sahaja. Sampai masa kira dia kata RM 70.00. Sedangkan kalau dikedai yang lain, apabila saya makan menu yang sama dan jenis ikan yang sama hanya sekitar RM 40.00. Jadi berhati-hatilah dengan kedai ini. Selepas beberapa bulan saya kembali ke bagan lalang dan mendapati kedai tersebut lengang sahaja berbanding kedai lain yang dipenuhi pengunjung. Saya tidak lagi pergi ke kedai tersebut dan baru-baru ini saya makan di Bryani Gam Johor Bagan Lalang yang baru di buka bersebelahan kedai tersebut. 

Bersambung...


16 Julai 2013

Ramadhan dan Kehidupan.

Ketika aku menulis kisah ini
Ramadhan telah masuk hari keenam
Ramadhan berlalu dengan penuh keinsafan
Tahun ini aku ingin berpuasa dengan sebaik-baiknya

Aku berpuasa
Tatkala tiba waktu berbuka
Aku tidak memikirkan sangat soal makanan
Aku tidak ingin melihat bazar ramadhan
Aku berpuasa dan berbuka dengan seminimum mungkin makanan

Isteriku tersayang
Memahami kehendak hatiku
Untuk makan ala kadar
Bukan kerana tiada wang
Tetapi biarlah ku rasa kepayahan si miskin
Yang tidak punya wang untuk makan

Aku mahu ramadhan ini
Menjadi hari-hari yang dibasahi air mata
Dipenuhi keinsafan
Didekatkan kepada Ilahi
Dijauhkan nafsu makan dan dunia yang menipu

Biarlah solatku sempurna
Puasaku diterima Allah
Dan segala kebajikan serta amalanku di diterima Allah.


29 Januari 2013

Suara Malam

Tiada hidup tanpa derita
Tapi setiap derita
Tidak akan berakhir dengan derita
Hidup akan bertukar wajah
Menjadi gembira

Tapi gembira tidak datang sendirinya
Gembira datang daripada lelah
Gembira datang daripada duka
Tapi gembira tidak pernah bertandang lama

Dunia ini hanyalah
Sebahagian alan hidup
Derita gembira silih berganti.