Memaparkan catatan dengan label BM SPM 2009. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BM SPM 2009. Papar semua catatan

22 Mei 2009

PERIBAHASA MELAYU

LATIHAN SPM KERTAS 2
SOALAN 3 : PERIBAHASA

Soalan jenis ini menguji pengetahuan peribahasa
Soalan menguji sama ada dari segi memberi makna atau penggunaannya
Empat jenis peribahasa
- Simpulan Bahasa (anak angkat; batu api; serkap jarang)
- Perumpamaan (pucar lesi umpama ayam lengit; seperti bahat dengan
penukul)
- Pepatah (ada padi semua kerja jadi; ada beras semua kerja deras)
- Bidalan (sambil menyelam minum air; ukur baju di badan sendiri)


A. Memberi Makna dan Membina Ayat daripada Peribahasa

Beri makna simpulan bahasa di bawah ini dan kemudian bina ayat berdasarkan
simpulan bahasa tersebut:

1. hati bugis
Makna : seorang yang berani
Ayat : Hang Tuah terkenal sebagai seorang pahlawan Melayu yang
mempunyai hati bugis.

2. Orang dapur
Makna : orang perempuan
Ayat : Sudah lama Mak Ngah teringin untuk mendapat orang dapur
kerana semua anaknya lelaki.


B. Membina Ayat daripada Peribahasa

Bina satu ayat berdasarkan peribahasa yang diberikan di bawah.

1. jauhari juga mengenal manikam

Bertanyalah kepada orang yang arif tentang undang-undang kerana jauhari
juga mengenal manikam

2. Belakang parang diasah lagikan tajam

Walaupun sudah berkali-kali gagal dalam peperiksaan, namun Mahani yakin
bahawa belakang parang diasah lagikan tajam


C. Menyatakan Peribahasa Berdasarkan Pernyataan

Berdasarkan pernyataan yang berikut, berikan satu peribahasa yang paling
sesuai.

1. Ramasami memberikan pelbagai alasan apabila rakan-rakannya
mengajaknya pergi ke perpustakaan
(hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih)

2. Pak Cik Mahadi memiliki ilmu yang tinggi tetapi dia tidak mahu
mengamalkan semua ilmu yang ada padanya itu.
(laksana pohon kayu tidak berbuah)


D. Mengemukakan Peribahasa Berdasarkan Petikan

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa
yang menggambarkan tiga situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan
ini.

Razali menceburi bidang perniagaan. Perniagaannya maju tetapi dia lupa akan pengorbanan dan kesusahan yang dialaminya sewaktu hendak memulakan perniagaan dahulu. Setiap bulan keuntungan yang diperoleh dibelanjanya sehingga dia tidak dapat menyimpan wang walaupun sedikit. Dia akhirnya menyesal apabila perniagaannya bankrap kerana dia tidak dapat membayar hutang piutang kepada pihak bank.

1. lupa daratan / lupa diri
2. berniaga buluh kasap, dapat hujung pangkal lesap
3. menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna.

15 Mei 2009

KARANGAN JENIS PENDAPAT

Kesihatan dari segi fizikal, mental, rohani dan emosi amat penting dalam kehidupan remaja.
Berdasarkan pernyataan diatas, huraikan amalan-amalan remaja yang sihat.

PENDAHULUAN– Kesihatan bukan sahaja mempunyai tubuh badan yang tidak berpenyakit, malah mempunyai pemikiran yang cerdas dan emosi yang stabil. Kesihatan amat berguna dalam kehidupan remaja kerana usia tersebut menjadi tapak permulaan seseorang itu mencari asas kejayaan dalam kehidupan. Remaja harus melakukan amalan yang baik untuk pertumbuhan fizikal, mental dan emosi.

ISI PENTING
Mempunyai disiplin diri yang baik
Mengamalkan cara hidup yang sihat
Bersikap tegas “Tak Nak” terhadap amalan buruk
Mengawal emosi ketika berhadapan dengan masalah
Mempelajari dan taat kepada amalan agama

PENUTUP– Remaja perlu menunjukkan sikap yang positif menerusi amalan yang baik. Amalan ini akan membentuk remaja yang sihat dari segi fizikal, mental, emosi dan rohani.

14 Mei 2009

SELOKA PAK PANDIR

Kepada pelajar-pelajar saya, berikut jawapan kepada soalan Seloka Pak Pandir dalam Antologi Kerusi Tingkatan 5


Aras Rendah

i. Maksud anak dipijak dagang dijinjing ialah anak atau keluarga sendiri tidak dipedulikan sebaliknya orang asing yang diutamakan.

ii. Persoalan yang terdapat dalam seloka ini ialah kebodohan yang merugikan diri sendiri seperti yang dilakukan oleh Pak Pandir.

iii. Saya akan menasihati Pak Pandir supaya mengubah sikapnya dan menyuruh Pak Pandir mendalami ilmu-ilmu yang perlu supaya dapat dia mengubah sikapnya.


Aras Sederhana

iv. Sikap negatif Pak Pandir ialah mementingkan orang asing sebaliknya mengabaikan keluarga sendiri. Pak Pandir juga tidak pandai membezakan mana yang baik dan yang buruk.

v. Gaya bahasa dalam seloka ini ialah perulangan, contoh:

orang berbunga dia berbunga,

orang berbuah dia haram,

vi. Masalah-masalah yang bakal timbul ialah anak-anak akan menjadi liar dan mungkin terjebak ke lembah hina, pelajaran mereka terjejas dan masa depan mereka akan gelap.


Aras Tinggi

vii. Maksud orang berbuah dia haram ialah pekerjaan orang lain berhasil tetapi Pak Pandir tidak mendapat apa-apa.

viii. Pengajaran ; Kita janganlah mengabaikan anak-anak; kita mestilah berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu.

ix. Anak dagang mestilah; menjaga tingkah laku; berbaik-baik dengan penduduk tempatan dan dan tidak bersikap sombong atau membangga diri.


Pesanan : soalan hendaklah dijawab dengan ayat yang gramatis dan lengkap.

13 Mei 2009

KARANGAN BAHAN BERGAMBAR SPM


SAYA MENCATATKAN ISI-ISI PENTING UNTUK KARANGAN BERGAMBAR SPM
Pelajar-pelajar boleh menyalin pada latihan yang cikgu telah berikan .



TAJUK : KESAN-KESAN BANJIR KEPADA MASYARAKAT
Pendahuluan : Banjir antara bencana alam yang ditakuti - boleh memusnahkan kehidupan manusia.
Isi
1. Boleh meragut nyawa, haiwan dan memusnahkan tumbuhan.
2. Memusnahkan harta benda - menyebabkan kemiskinan
3. Menjejaskan aktiviti sosial dan ekonomi - pekerjaan, urusan harian.
4. Menyebabkan penyakit merebak - tiada sumber air bersih - haiwan pembawa penyakit.
5. Menimbulkan kebimbangan masyarakat dan kesan psikologi implikasi seperti trauma.

Penutup - Masyarakat perlu mempunyai kesedaran sivik tentang pencemaran (pembuangan sampah) yang boleh menyumbang kepada berlakunya pencemaran.

Cadangan Peribahasa
1. Sudah terhantuk baru tengadah
2. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.
3. Sehelai sepinggang
4. Malang tidak berbau

06 Mei 2009

SOALAN NOVEL SPM

KERTAS 2 : SOALAN 4


[Pelajar-pelajar boleh menjawab soalan ini dalam ruangan komen atau secara bertulis dan menghantarnya apabila bertemu dengan cikgu, sila tuliskan nama sekiranya anda bertanya dalam ruangan komen atau ingin memberi pendapat tentang soalan yang dipaparkan]



SOALAN 1

a. Berikan ulasan anda tentang fungsi kesusasteraan kepada pengarang.

(7 markah)

b. Huraikan ciri-ciri utama sesebuah novel.

(8 markah)



SOALAN 2

a. Huraikan sudut pandangan dalam novel yang telah anda pelajari.

(7 markah)

b. Huraikan empat persoalan dalam novel yang telah anda pelajari.

(8 markah)