Memaparkan catatan dengan label YANG TERLINTAS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label YANG TERLINTAS. Papar semua catatan

18 Disember 2013

MEMANCING DI BAGAN LALANG

MEMANCING

Jika anda berminat memancing di Bagan Lalang, maka anda mestilah tahu serba sedikit tentang pancingan di sini. Selain apa yang saya kisahkan ini, terdapat juga tulisan lain tentang perkara ini di blog yang lain. Catatan ini tidak akan menceritakan tentang pancingan di kawasan kelong, tetapi di kawasan pantai.
Memancing sekitar pantai Bagan Lalang hendaklah menggunakan umpan hidup dan pada masa air pasang penuh. Jika anda menggunakan umpan lain, boleh juga dapat ikan, tetapi ikan duri atau belukang. Anda boleh memancing di kawasan yang mempunyai tembok batu atau atau kawasan lain, kecuali kawasan berhampiran hotel atau jauh dari pengunjung yang mandi manda.
Masa terbaik memancing ialah sekitar 4 pagi hingga 7 pagi. Sebelah petang 6 petang hingga 9 malam. Maksudnya anda mesti melihat jadual air pasang pada waktu tersebut.
Pengalaman saya di kawasan ini, berjaya menaikkan siakap 0.5 kg, Senangin 0.4 kg dan gelama saiz tiga jari. Tapi ingat, umpan udang hidup. Anda juga boleh memancing mengikut arus surut ke dasar laut jika anda rajin, tatkala air mula surut.

IKAN BAKAR BAGAN LALANG

Anda boleh makan ikan bakar atau masakan panas yang lain di mana-mana kedai. Tapi saya nasihatkan elakkan makan di sebuah kedai makan yang terdapat di kawasan medan selera. Kedai itu ialah kedai bernombor 3 dan bersignbord warna merah. Kenapa?
Saya selalu makan di Bagan Lalang jika pergi ke bagan lalang. Masalahnya suatu hari saya try kedai ini. Ambil satu ekor ikan sahaja. Sampai masa kira dia kata RM 70.00. Sedangkan kalau dikedai yang lain, apabila saya makan menu yang sama dan jenis ikan yang sama hanya sekitar RM 40.00. Jadi berhati-hatilah dengan kedai ini. Selepas beberapa bulan saya kembali ke bagan lalang dan mendapati kedai tersebut lengang sahaja berbanding kedai lain yang dipenuhi pengunjung. Saya tidak lagi pergi ke kedai tersebut dan baru-baru ini saya makan di Bryani Gam Johor Bagan Lalang yang baru di buka bersebelahan kedai tersebut. 

Bersambung...


02 Mei 2012

ELEMEN 3 : FOLIO SEJARAH PMR 2012


Malaysia sebagai sebuah negara merdeka telah mengorak langkah untuk maju setanding dengan negara lain dalam pelbagai bidang. Kemajuan yang dikecapi oleh negara adalah hasil usaha pemimpin dan rakyat yang berganding bahu mengemudi pembangunan negara ke mercu kejayaan. Dalam sebuah negara merdeka, setiap warganegara perlu menunjukkan semangat patriotik kepada negara. Semangat patriotik yang ditunjukkan termasuklah dengan membeli barangan buatan tempatan. Dengan membeli barangan buatan tempatan, kita akan membantu memajukan industri dalam negara yang diusahakan oleh anak tempatan.
            Sebagai seorang pelajar, saya sangat berbangga apabila menggunakan barangan buatan tempatan. Selain daripada mutu dan kualitinya setanding barangan import, barangan tempatan juga turut diminati oleh pelancong asing. Misalnya dalam aspek industri pemakanan, pelancong asing mengemari makanan Malaysia seperti nasi lemak dan roti canai. Malah begitu juga dengan industri batik yang turut menarik minat pelancong untuk membelinya sebagai buah tangan atau tanda kenang-kenangan. Maka apabila saya menggunakannya, rasa bangga tersebut bersebati dengan semangat muhibah dan bersatu kerana barangan yang dihasilkan oleh masyarakat majmuk dikongsi dalam semangat kekitaan.
            Selain itu, melalui slogan tersebut, saya terdetik untuk terus menggunakan barangan tempatan setelah melihat sendiri kerajinan dan kegigihan pengusaha industri tempatan memajukan jenama dan produk tempatan. Maka sebagai rakyat Malaysia, saya berpendapat sudah tiba masanya untuk kita sama-sama menunjukkan semangat cinta akan negara dengan membeli barangan tempatan yang mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan produk import.
            Dalam menjunjung semangat mengutamakan barangan tempatan, nilai bermuafakat tersemai dalam diri saya. Untuk memajukan industri dan barangan tempatan, pekerja sama ada dalam industri batik mahupun makanan mengamalkan nilai bermuafakat untuk menjayakan sesuatu produk. Semua ini dilakukan untuk menghasilkan produk yang hebat. Maka produk yang hebat ini tidak akan berjaya jika masyarakat tidak membelinya, atau dalam erti kata lain menyokong dan membeli barangan buatan tempatan.
            Berkaitan dengan hal itu, masyarakat perlu bertanggungjawab dan bersikap adil dalam menilai barangan buatan tempatan. Persepsi negatif perlu dielakkan kerana akan menjadi batu penghalang kepada kemajuan produk tempatan. Sikap tersebut juga menggambarkan terhakisnya semangat patriotik dalam diri seseorang warganegara. Kita perlu mengelakkan sikap mengagungkan produk import, sebaliknya menunjukkan semangat patriotik yang tinggi dengan menggunakan barangan buatan tempatan. Tuntasnya, pengalaman yang dilalui sepanjang menjalani kajian telah dapat menanam semangat patriotik yang lebih tinggi dalam diri saya.

Pahitnya Derita Adalah Penawar

Pahitnya derita sedekad lalu
Adalah penawar
Untuk sampai ke hari ini yang penuh gembira.

17 April 2012

Perjalanan Yang Jauh

Aku melewati saat dan detik
Tika gelita bertukar cerah
Dalam dakapan resah gundah
Berkicau segala sengsara
Menyusuri batuan hati
Karang jiwa
Yang dipukul ombak duga

Dalam luka kaki yang parah
Aku menyusun langkah lelah
Kubasuh darah kering dengan air mata
Namun merahnya deras menyelubungi ruang

Perjalanan sejauh ini
Terlalu jauh
Tetapi terasa dekat
Tika tanganku kau genggam erat.

15 Februari 2012

Secangkir Penawar

Ketika malam memanjat subuh
Lelah dan lesu minda
Masih menerpa seluruh jiwa
Tanda noktah belum menjelma
Tanda tanya tak henti tiba

Apakah secangkir penawar
Untuk sesamudera jiwa resah
Yang melingkar ke dasar hati

05 Disember 2011

Mereka Datang Malaysia Buat Apa?

Saya selalu mengatakan kepada pelajar-pelajar yang saya tidak rasis atau melihat warna kulit. Apabila mendiskusikan perihal isu warga asing : pro dan kontra, saya kerap menggunakan warga asing dari Afrika. Kenapa Afrika? Kerana lewat 90-an, Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) telah dan ingin dilihat sebagai wira. Wira Dunia Ketiga, dengan membawa masuk warga ini apabila menghapuskan Visa untuk kemasukan mereka. Akibatnya mereka membanjiri Malaysia. Warga Afrika sangat teruk kerana mereka ini bersikap biadap dan kurang ajar; sama ada di kawasan kediaman atau tatkala menaiki kenderaan awam.

Laporan berita hari ini mengenai wagra Afrika yang ditembak mati di hospital adalah satu lagi bukti jenayah antarabangsa (dadah) apabila laporan Xray mendapati terdapat ketulan dada di dalam ususnya.

Sebenarnya telah banyak malapetaka dan bencana sosial yang ditimbulkan oleh warga ini. Tetapi kerajaan seolah-olah tidak memandang serius masalah yang mereka timbulkan. Warga Malaysia harus sedar dan mengajar pemimpin yang pekak dan bisu terhadap masalah ini melalui hak dan suara demokrasi yang mereka miliki.

22 November 2011

Tiada Hidup Tanpa Dugaan

Siapa yang hidup
tanpa pernah berasa susah
sedang Nabi kekasih Allah
diuji segala musibah
buat menguji kesabaran
menguatkan kentalnya jiwa
dari cubaan yang mendatang

Tiada kejayaan
yang datang tanpa kegagalan
kerana terbit fajar dan cahaya suria
yang cerah menerangi semesta
sebelumnya ialah malam yang gelita

Hidup ibarat laut
Ada pasang surutnya
Surutnya menggembirakan anak-anak kecil
untuk bermain di tepian pantai
Pasangnya menggembirakan ikan-ikan
untuk bermain di gigi air

Aku ingin seteguh karang
menahan ombak dan badai
yang menghempas tanpa henti
agar ikan-ikan dapat membiak
dan bebas berenang menjelajah samudera

Seorang Guru dan Ibu Bapa

Berapa ramai di antara kita
mengucapkan terima kasih
kepada guru yang mengajar
sehingga kita berjaya?

Sangat ramai di antara kita
berbangga apabila berjaya
menggapai impian dicita
dan lupa kepada guru sang pendeta

Sangat ramai di antara
menyalahkan guru yang memudah cara
apabila anak kita kecewa
mencapai impian mereka

Seorang bapa mungkin berkata
jika anaknya berjaya
adalah kerana menurut keturunanya
yang bijak-bijak belaka

Ada juga seorang bapa
jika anaknya gagal dan lemah
kurang ajar dan biadap
ianya kerana gurunya gagal mendidik

Seorang guru yang memang jiwanya pendidik
Tidak terkesan dengan segalanya

Tetapi seorang ibu dan bapa
yang sombongnya setinggi langit
tidak lebih darjatnya
daripada ulat dan cacing di dalam tanah.



21 November 2011

Aku Melihat...Seorang Budak Miskin

Aku melihat
ada seorang budak miskin
berjalan kaki ke sekolah
berkasut getah
di sakunya hanya berisi cekal dan semangat
lahir dari hatinya... bukan dari dorongan orang lain

Aku melihat
ada seorang budak miskin
duduk di tepi tangga sekolah
ketika waktu rehat
menjamah lapar dan dahaga
yang mampu dibelinya
hanyalah sepotong keinginan
untuk mengalas lapar perutnya

Aku melihat
ada seorang budak miskin
tidak punya buku dan pensel
untuk menulis cita-citanya
dia mengutip di bawah sekolah
sisa-sisa pensel yang kontot
untuk melakar cita-citanya yang menggunung

Aku melihat
seorang budak miskin
tidak dapat membaca masa depannya
kala malam yang gelita
kerana pelita minyak tanah
selalu kering dan lelah untuk bercahaya
dia hanya sabar
menanti sinar suria

Aku melihat
seorang budak miskin
hanya tidur dilantai papan
berselimutkan pelikat lusuh
kerana kedinginan malam adalah teman sejatinya

Aku melihat
seorang budak miskin
melihat derita adalah dia
dan dia adalah derita
Sepanjang hidupnya yang telah berlalu.


Kini
aku masih melihat
kelibatnya yang bersulam azam
seperti zaman silamnya



28 Oktober 2011

Kedinginan Senja Memilukan

Kedinginan senja
Menusuk ketulang
Si miskin menangis
Kesejukan kerana berselimutkan gerimis
Berbantalkan bayu senja dan irama guruh
Diterangi cahaya halilintar
Memecah hening dan sunyi


22 Ogos 2011

Macam-macam Nostalgia dan Cerita

1. Saya telah tamat M.A di Universiti Malaya. 2 tahun saya peruntukkan untuk menghabiskan Master. Dalam 2 tahun itu, banyak air mata yang menitis tatkala saya bersendirian mengarang tesis dan ke luar negara membuat pembentangan dalam seminar. Tetapi semuanya berakhir setelah saya tamatkan pengajian dengan sempurna.

2. Perjuangan dalam dunia pendidikan itu belum selesai. Saya masih dalam proses memulakan pengajian PhD. Saya telah ke USM untuk menguruskan dan bertanya perihal PhD itu. Insya Allah kalau bukan di USM, UPM atau UKM untuk PhD, saya mungkin keluar negara.

3. Saya punya cuti yang panjang. Tapi tidak terasa seperti cuti. Kerana banyak pekerjaan yang perlu aku lakukan semasa cuti. Dalam cuti saya bekerja, dalam bekerja saya cuti.

4. Pendapatan: Nampaknya pendapatan semakin meningkat semasa cuti. Tetapi kos hidup telah menyebabkan pendapatan yang tinggi menjadi sedikit terjejas. Apa agaknya terjadi kepada mereka yang berpendapatan di bawah RM 3000.00? Cukupkah makan mereka? Berhutangkah mereka atau bagaimana?

5. Hobi: Saya suka memancing dan menjala ikan. Dulu dapat sahaja ikan, aku teruja nak goreng ikan itu. Tapi sekarang aku tak tahu apa harus aku lakukan kerana rezeki Allah melimpah ruah kadang-kadang. Alhamdulilah. Pernah sekali aku menjala dapat 90 ekor ikan. Kemudian sekali lagi aku menjala, dapat 60, 70 dan kadang-kadang mencecah 100 ekor. Seronok apabila dapat banyak ikan. Kalau memancing, 5 jam seekor pun belum tentu dapat.

6. Kisah raya : Semasa kanak-kanak, hidup keluarga sangat miskin. Masa kanak hingga sekolah menengah, tidak pernah sekalipun saya mendapat baju baru dan kasut baru. Kadang-kadang berhari raya dengan kasut sekolah sahaja. Baju raya pun hanya t shirt yang di beli di tepi kedai. 3 hingga 5 ringgit harganya.

7. Perniagaan : Perniagaan yang baik ialah apabila kita sendiri menguruskannya. Apabila kita ada idea yang baik dan duit yang banyak, kemudian kita suruh orang lain menguruskannya, ianya akan hancur. Saya tidak mungkin mempercayakan sesiapa dalam bisnes, termasuklah adik beradik dan darah daging sendiri.

8. Apabila kita mencintai seseorang, lakukan yang terbaik dan jagalah hatinya walaupun anda terpaksa hilang segala-galanya. Itulah pengorbanan. Jangan tanya pengorbanan pasangan anda, tetapi fikirkanlah apa yang terbaik anda lakukan untuk pasangan anda.

9. Bercampur gaul perasaan yang ada....


01 Mac 2011

TAHUN 2011 : Hala Tuju Yang Pasti.

Hari ini 1 Mac 2011.
Aku telah membulatkan tekad
aku ingin melupakan kekecewaan
kekecewaan kerana kegagalan dalam perusahaan ladang

Pengajarannya
Jika ingin memulakan perniagaan
Melabur dalam perladangan
Pastikan kita menyertainya
Kerana kadang-kadang tiada sesiapa boleh dipercayai
Termasuk ahli keluarga sendiri.

15 Disember 2010

Ibu, maaf kerana terlalu lama menanti.

Ibu
Jika lama aku tidak pulang
Itu bukan bermakna anakmu telah melupakanmu
Tetapi kehidupan menghimpitnya di kota ini

Ibu
Kerinduanku pada desa
Bunyi kokokan ayam
Desiran angin meniup pepohonan
Tidak pernah kulupakan
Dalam sepanjang hidupku di kota ini

Ibu
Aku akan kembali kedesa
Membawa sesuatu
Selain daripada diriku.

Kelahiran Dan Tahun Hijrah

Tahun ini agak istimewa kerana kehadiran Tahun Baru Hijrah jatuh pada 7 Disember. Keistimewaan ini adalah kerana ia bertepatan dengan ulang tahun kelahiran saya. Ulang tahun kelahiran saya pada kali ini agak istimewa kerana tiada sambutan yang meriah dan ucapan daripada rakan-rakan dan sahabat juga daripada ahli keluarga. Sama ada mereka lupa atau tidak tahu, itu bukan soalnya. Soalnya ialah saya gembira kerana dengan tiadanya sambutan itu, dapatlah saya berfikir dan merenung masa-masa lalu dan akan datang. Apatah lagi ia bertepatan pada tahun hijrah.

Istimewa juga adalah disebabkan saya berjaya menghantar thesis untuk pemeriksaan. Itu satu kegembiraan kepada saya. Saya berulangkali berdoa agar lulus dalam pengajian sarjana.

Yang paling istimewa juga ialah sepanjang hari yang saya lalui pada hari itu. Terlalu istimewa.

14 September 2010

JENAYAH DAN PEMBUNUHAN KEJAM

Hasil siasatan polis menunjukkan pembunuhan kejam terhadap jutawan kosmetik Datuk Sosilawati. Saya sangat simpati akan kehilangan seorang usahawan berjaya yang bekerja keras untuk memastikan kejayaan yang dicapai kini. Disebalik peristiwa sedih ini, bermain di benak saya beberapa persoalan:
1. Jangan mudah percaya termasuk kepada mereka yang bergelar "Datuk" atau profesional. Mereka juga boleh jadi penipu dan pembunuh.
2. Manusia boleh hilang pertimbangan sekiranya urusan berkaitan dengan wang
3. Jika berurusan perkara yang sangat penting, maklumkanlah orang terdekat, jangan pergi bersendirian, kerana mungkin ada risiko.
4. Kenapa pembangkang diam dan senyap, tidak mengadakan demonstrasi, selalunya pembangkang suka membuat demonstrasi menuntut "keadilan", tetapi kali ini sunyi sepi sahaja.

02 September 2010

TIKA MALAM MEMEKATKAN GELAP

Malam yang gelap ini adalah sepi
Dari keriuhan dan kebisingan siang
Dari riang dan tawa manusia-manusia
Yang tiada penghujungnya

30 Ogos 2010

AKU ADALAH DERITA ITU

Aku adalah derita itu
Datang dalam baris mimpi-mimpi kesuraman
Datang dalam setiap resah dan gelisah
Menongkah segalah pedih dan lelah
Dalam banjir air mata panas dari kawah kesakitan

Jika hari ini aku ketawa
Itu maknanya jasadku mengalirkan derita
Itu maknanya badanku telah parah luka
Terhiris dengan tajamnya segala senjata
Yang tiada kelihatan di depan mata
Tetapi telah menusuk ke setiap jasad dan nadiku

Jika nanti aku tiada lagi
Aku tidak menyesal akan derita
Yang menimpa diriku.

10 Ogos 2010

PERKEMBANGAN TERBARU PENANAMAN PISANG





10 bulan yang lalu, kawasan ini terbiar dengan pokok kelapa tua yang tidak lagi ekonomik. Saya memberitahu kepada adik saya supaya mengusahakan kawasan ini dengan penanaman pisang kerana potensi dan pasaran pisang yang semakin baik. Malah pisang juga lebih "selamat" dari segi pasaran kerana selain boleh dijual segar, buahnya juga boleh diproses menghasilkan industri hiliran yang lain.
Saya memberikan motivasi kepada adik saya supaya bersemangat kerana saya hanya dapat memantau dari jauh memandangkan saya bertugas/bekerja di Kuala Lumpur dan menyambung pengajian di peringkat Sarjana (Insya Allah akan tamat tahun ini). Saya memberi kemudahan dalam bentuk modal untuk membeli barangan bagi membuka ladang tersebut. Hasilnya, selepas tidak sampai setahun, kawasan yang dahulunya tidak ekonomik dan terbiar itu kini menghijau dan Insya Allah akan membuahkan hasil yang semakin banyak.
Buat masa ini, saya memikirkan untuk menjual hasil daripada projek ini secara segar. Tetapi InsyaAllah, pada tahun akan datang, saya akan mula membuka perusahaan membuat kerepek secara besar-besaran.
Walaupun baru-baru ini saya ada membeli sebuah kereta kepada adik saya, namun saya menjangkakan bahawa saya memerlukan kenderaan yang lebih besar untuk tujuan ini. Mungkin Van atau Pacuan 4 roda. InsyaAllah jika semuanya berjalan lancar, saya akan membeli sebuah lagi kenderaan untuk kegunaan perusahaan tersebut.
Apa yang menggembirakan selain progres yang agak baik, projek ini diusahakan tanpa sebarang bantuan daripada agensi kerajaan mahupun swasta. Berbanding orang lain yang diberi bantuan penanaman oleh pihak Jabatan Pertanian, yang nampak hasilnya hanyalah sekadar lalang menghijau.
Apapun yang kita lakukan hendaklah dengan keikhlasan dan penuh kesabaran. Jangan pedulikan apa yang orang lain katakan kerana kadang-kadang lebih banyak yang mengkritik daripada membina semangat.
Rakan-rakan yang punya cadangan atau pandangan tentang perusahaan pisang ini bolehlah meninggalkan komen anda.
POSTING LAIN MENYUSUL
1. Aktiviti memancing di Laut Semporna
2. Penanaman Kelapa Sawit
3. Projek Penternakan Itik
4. Lawatan ke dusun buah-buahan.



17 Julai 2010

PERJALANAN YANG JAUH

Semalam saya berjalan jauh ke Pelabuhan Klang. Seingat saya itu kali pertama saya ke Pelabuhan Klang. Jaraknya agak jauh kerana saya perlu ke pelabuhan Selatan untuk ke syarikat perkapalan bagi tujuan menghantar kereta ke Sabah. Setelah semua urusan selesai dan kereta ditinggalkan di Pelabuhan, perjalanan diteruskan ke Kuala Lumpur menaiki komuter. Perjalanan agak memenatkan juga kerana dah malam sebelumnya saya tidur lewat akibat daripada membaca buku. Perjalanan ini akan berterusan lagi kerana dalam tempoh seminggu, saya perlu ke Sabah untuk mengambil kereta yang dihantar itu. Tiada orang lain yang mengambilnya, sayalah yang perlu mengambilnya. Nampaknya perjalanan saya agak memenatkan, dari Sabah akan kembali pula ke Semenanjung. Di Sabah, saya telah mengatur jadual yang sangat padat.

23 Jun 2010

ANAK-ANAK DIDIKKU

Anak-anak didikku
Ada yang memberi hadiah
Katanya "Selamat Hari Guru"
Kataku "Terima kasih". Tapi cikgu mengajar bukan kerana hadiah.
Kata muridku "Hadiah hanya sekadar tanda jasa-jasa cikgu".

Dalam agama mengajar ilmu dan menuntut ilmu
Sangat tinggi nilainya
Tapi jika tidak ikhlas, akan hanya menjadi sekadar rutin

Macam-macam hadiah
Telah ku peroleh daripada muridku
Dari ucapan hinggalah wang ringgit
Tetapi tiada yang mengharukan
Selain panggilan "Cikgu".

Ibrahim
Kuala Lumpur.