Memaparkan catatan dengan label NOTA UMUM BAHASA MELAYU. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label NOTA UMUM BAHASA MELAYU. Papar semua catatan

08 Disember 2011

Cuti dan Komponen Sastera

Pada masa kini semua pelajar sedang bercuti panjang, cuti persekolahan akhir tahun. Pelajar boleh berehat seketika daripada kesibukan dalam rutin yang memenatkan sebagai seorang pelajar. Namun saya yakin bahawa pelajar juga akan bosan bercuti jika terlalu lama. Maka jalan terbaik untuk mengisi masa cuti yang panjang ialah membaca Antologi dan novel yang akan dipelajari pada tahun (khususnya pelajar sekolah menengah). Pelajar juga boleh memantapkan pengetahuan galam aspek gaya bahasa.

13 Oktober 2011

Tajuk Penting BM SPM 2011

Kertas 1 Karangan Respons Terbuka, Tajuk Perpaduan Kaum sangat penting khususnya menyentuh langkah menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat. Soalan tidak semestinya menyentuh tentang semangat dan konsep 1 Malaysia, tetapi menjurus kepada mekanisma untuk menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

19 Mac 2010

LATIHAN KARANGAN : USAHA MENANGANI MASALAH DISIPLIN

  • Fokus utama menangani masalah disiplin ialah diri remaja itu sendiri.
  • Kesedaran dalam diri remaja tentang tanggungjawab mereka terhadap diri sendiri, keluarga dan negara perlu diwujudkan.
  • Remaja memerlukan kasih sayang dan perhatian yang mencukupi kerana dalam proses memasuki alam remaja dan dewasa mereka amat memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar daripada keluarga.
  • Ibu bapa perlu menitikberatkan pendidikan agama kepada anak-anak sejak kecil kerana jika remaja mempunyai pegangan dan asas agama yang kukuh, mereka tidak akan mudah terpesong dan terpengaruh dengan sebarang unsur negatif.
  • Sebahagian besar masa remaja dihabiskan di sekolah dan ini bermakna bahawa perana sekolah amat besar dalam mendidik remaja ini dengan nilai-nilai yang baik dan melakukan aktiviti yang berfaedah.
  • Salah satu caranya ialah melalui pengajaran mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pengetahuan Moral agar nilai-nilai murni dapat diserapkan dalam diri pelajar.
  • Media massa perlu juga memainkan peranan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dan tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata.
  • Selain tumpuan kepada diri pelajar itu sendiri, pihak berkuasa seperti polis harus melipatgandakan usaha untuk menangani masalah melalui penguatkuasaan undang-undang terhadap mereka yang bersalah.
  • Kini pihak kerajaan telah melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan melalui sistem ini, remaja lepasa sekolah diharapkan dapat menjadi warganegara yang berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga dan negara.

18 Jun 2009

KATA SENDI NAMA

KATA SENDI NAMA

Kata Sendi Nama ialah kata yang hadir di hadapan frasa nama yang mempunyai fungsi tertentu.
Yang berikut ialah panduan menggunakan kata sendi nama.

UNTUK
Penggunaan : Menunjukkan kegunaan sesuatu; maksud bahagian yang telah diperuntukkan.
Ayat : Gamat digunakan untuk mengubati pelbagai penyakit.
Buah limau itu saya bawa untuk awak.

TERHADAP
Penggunaan : Menunjukkan maksud rujukan yang melibatkan penyambut yang tentu sama ada manusia, haiwan atau benda.
Ayat : Kita mestilah mempunyai rasa kasih dan sayang terhadap ibu bapa.
Saya bersimpati terhadap anak kerbau yang dibaham oleh harimau semalam.

TENTANG
Penggunaan : Menunjukkan maksud rujukan sesuatu yang tidak tentu atau umum.
Ayat : Novel "Impian" itu berkisar tentang kegigihan seorang remaja menuntut ilmu.

SEPERTI / BAGAI
Penggunaan : Menunjukkan perbandingan
Ayat : Hatinya keras seperti batu.
Azmer kelihatan pucat lesi bagai dikejar hantu.

SEJAK/SEMENJAK
Penggunaan: Menunjukkan masa atau waktu
Ayat: Sejak bapanya meninggal dunia, dia lebih suka menyendiri.

PADA
Penggunaan: Menunjukkan masa atau waktu; tempat; ada pada (manusia dan haiwan)
Ayat: Pada waktu petang Rajesh menghambat kambingnya ke kandang.
Saya berpaut pada dahan pokok itu.
Jam tangan kamu ada pada saya.

(Kata sendi yang lain termasuklah; oleh, kepada, ke, hingga, sampai, sehingga, di, demi, dengan, daripada, dari, dalam/antara, bagai, akan)

12 Jun 2009

CERPEN SPM

LAMBAIAN MALAR HIJAU
Sinopsis
Cerpen ini mengisahkan seorang remaja lelaki masyarakat Orang Asli yang bernama Daneng. Dia seorang yang bijak tetapi enggan belajar lagi. Cikgu Jo telah berjaya memujuknya. Daneng menjadi seorang pakar perhutanan yang disegani di seluruh dunia. Dia dianugerahi gelaran Datuk dan menerima Hadiah Nobel kerana sumbangannya memelihara dan memulihara alam sekitar.
ANNYSS SOPHILLEA
Sinopsis
Cerpen ini mengisahkan kehidupan makhluk asing yang mengembara ke bumi untuk mencari saudara kembarnya. Annyss Sophillea berkenalan dengan Akmal. Saudara kembar Annyss telah diculik sepupunya, Strenn kerana berebut takhta di Alstonia. Akhirnya Akmal membunuh Strenn. Nasib Akmal masih samar kerana sesiapa yang membunuh di Alstonia akan turut mati.
VIRUS ZEL UNTUK ABAH
Sinopsis
Zel terlalu marah kepada abahnya, Auntie Syarifah dan saudara-saudara tirinya. Zel tinggal dengan mamanya, seorang ibu tunggal dan tidak mendapat kasih sayang abahnya. Oleh sebab itu, Zel bercadang hendak merosakkan perisian komputer abahnya. Rancangan tersebut dibatalkan setelah Win menasihatkannya melalui perbualan di komputer.
(Nota ini akan disambung dengan perbincangan meliputi tema, persoalan, plot, watak dan perwatakan, latar, sudut pandangan, gaya bahasa, nilai dan pengajaran)

IMPLIKASI PENCEMARAN TERHADAP MANUSIA

IMPLIKASI PENCEMARAN TERHADAP MANUSIA

Pendahuluan
Pelbagai bentuk pencemaran alam sekitar berlaku di negara kita. Keadaan ini amat membimbangkan kerana mendatangkan kesan terhadap kehidupan kita.

Isi Penting
1. Menyebabkan pemanasan global - perubahan cuaca - menyebabkan bencana alam - menjejaskan kehidupan manusia.
2. Kepupusan flora dan fauna - penebangan hutan secara berleluasa - mengakibatkan bencana alam.
3. Menjejaskan sumber pendapatan - tumpahan minyak memusnahkan hidupan laut - menjejaskan sumber pendapatan nelayan.
4. Menjejaskan ekonomi - kemusnahan tanaman atau kawasan pertanian oleh banjir atau kemarau akibat pencemaran.
Penutup
Pencemaran alam - masalah sejagat - harus ditangani oleh semua pihak.

Cadangan Peribahasa
  • Malang tidak berbau
  • Sehelai sepinggang
  • Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

26 Mei 2009

JENIS-JENIS PENDAHULUAN KARANGAN

Pendahuluan karangan sangat penting kerana memberi gambaran awal tentang kematangan penulisan seseorang pelajar. Terdapat beberapa jenis pendahuluan dalam karangan.

1. Pendahuluan Jenis Definisi
2. Pendahuluan Jenis Pendapat
3. Pendahuluan Jenis Suasana
4. Pendahuluan Jenis Persoalan
5. Pendahuluan Jenis Peribahasa
6. Pendahuluan Jenis Sejarah
-------------------------------------
Tajuk : Isu Penderaan (Pendahuluan Jenis Definisi)
Dera bermaksud pukulan dengan rotan, tali pinggang, atau alat-alat lain sebagai hukuman. Mendera bermaksud memukul dengan menggunakan alat-alat yang dinyatakan tadi. Penderaan pula bermaksud melakukan perbuatan mendera. Sebenarnya, penderaan terbahagi kepada dua jenis, iaitu penderaan berbentuk fizikal dan penderaan berbentuk mental. Berdasarkan kajian, banyak terdapat punca yang menyebabkan perbuatan ini berlaku terutamanya kepada kanak-kanak.
Tajuk : Kepentingan Bahasa Inggeris ( Pendahuluan Jenis Pendapat)
Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan bahawakita tidak akan mencapai kemajuan yang cepat jika kita tidak menumpukan perhatian dalam penguasaan bahasa Inggeris. Beliau berkata bahawa kebanyakan ilmu yang terdapat dalam dunia ini terungkap dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, kita mestilah memberikan penekanan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita. menurut beliau, bahasa Inggeris banyak kepentingan atau kebaikannya, sama ada kepada rakyat mahupun negara.
Tajuk : Gambaran Tentang Kemalangan Ngeri Rumah Tertimbus
Apabila saya sampai di tempat kejadian itu, saya terdengar jeritan manusia dari celah-celah rekahan batu. Selain itu, tangisan bayi dan kanak-kanak jelas kedengaran dari sebuah bilik yang berdekatan dengan runtuhan batu tersebut. Pada ketika itu, pasukan penyelamat masih belum tiba lagi. Saya menjadi gelabah kerana buntu untuk melakukan sesuatu tindakan. Namun begitu saya menggagahkan semangat dan mencuba untuk melakukan sesuatu supaya mangsa yang berada di bawah runtuhan batu itu dapat diselamatkan.
Tajuk : Isu Kemalangan Jalan Raya ( Pendahuluan Jenis Persoalan)
Tahukah anda bahawa hampir setiap hari ada-ada sahaja kemalangan jalan raya yang dilaporkan di media massa? Hal ini amat membimbangkan terutamanya menjelang musim perayaan. Siapakah yang patut dipersalahkan, pengguna jalan raya atau pihak kerajaan? Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?
Tajuk :Rencana "Perpaduan Asas Kemajuan" (Pendahuluan Jenis Peribahasa)
Masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu kaya dengan peribahasa yang meliputi semua aspek kehidupan. Antara peribahasa yang menekankanaspek kerjasama dan perpaduan termasuklah "Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni", "Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah", "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing", "Bagai aur dengan tebing", dan Ibarat Telur sesangkar, pecah sebiji pecah semua". Semua peribahasa yang dinyatakan itu sebenarnya membawa konsep kerjasama dan perpaduan yang utuh antara ahli dalam masyarakat. Konsep ini perlu diamalkan sepanjang masa kerana perpaduan asas kemajuan sesebuah negara.
Tajuk: Kemerosotan Sukan Bola Sepak ( Pendahuluan Jenis Sejarah)
Pada tahun 1972, pasukan bola sepak negara kita telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan bola sepak sukan Olimpik di Munich, Jerman. Kejayaan ini diulang pada tahun 1980 apabila pasukan kita layak menyertai sukan Olimpik di Moscow, Rusia. Pada akhir tahun 1970-an, dan awal tahun 1980-an pula, keupayaan pasukan bola sepak negara kita setanding dengan keupayaan pasukan bola sepak Korea Selatan. Namun demikian, apakah punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak negara kita sekarang ini begitu jauh merosot atau ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain?

22 Mei 2009

SIMPULAN BAHASA

Simpulan bahasa adalah bentuk peribahasa yang paling mudah. Biasanya simpulan bahasa terdiri daripada dua patah kata yang membawa maksud yang tepat dan padat.
Senarai simpulan bahasa beserta dengan maksudnya adalah seperti yang berikut:



ada angin
berkelakuan luar biasa pada sesuatu ketika
ada hati
mempunyai keinginan yang melebihi kemampuan untuk melakukan atau memiliki sesuatu
air muka
rupa atau wajah seseorang
ajak-ajak ayam
tidak bersungguh-sungguh semasa mempelawa seseorang
ada bakat
mempunyai tokoh atau perwatakan
alas perut
makanan yang dimakan untuk sementara waktu sebelum memakan makanan yang mengenyangkan
anak angkat
anak orang lain yang dipelihara sebagai anak sendiri
anak bapa
anak yang disayangi oleh bapa
anak buah
orang yang di bawah jagaan seorang ketua atau anak saudara
anak emas
anak yang disayangi oleh ibu bapa atau ketuanya
angkat kaki
meninggalkan sesuatu tempat kerana sesuatu sebab
atas angin
negara-negara di sebelah barat
atas pagar
tidak menyebelahi mana-mana pihak
ayam tambatan
orang yang menjadi harapan dalam sesuatu pertandingan
bahasa pasar
bahasa Malaysia yang tidak betul tatabahasanya
banyak mulut
orang yang banyak bercakap
batu api
orang yang suka menghasut
batu loncatan
sesuatu yang dijadikan alat untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati
bau-bau bacang
tali persaudaraan yang jauh
bawah angin
negara-negara di sebelah timur
bekas tangan
hasil kerja tangan seseorang
beralih akal
berubah fikiran atau pendapat
beralih angin
pergi ke sesuatu tempat untuk berehat
berat hati
enggan; malas
berat mulut
pendiam atau tidak suka bercakap banyak
berat tulang
orang yang malas bekerja
berat sebelah
tidak berlaku adil
berbelah bagi
sukar untuk membuat keputusan
berhati batu
degil dan sukar menerima nasihat
berhutang budi
patut membalas kebaikan seseorang dengan kebaikan juga
bermuka dua
tidak jujur
bertikam lidah
bertengkar; berdebat
besar hati
bergembira atau berbangga akan sesuatu
besar kepala
degil; sukar menerima pandangan orang lain
buah hati
orang yang dikasihi atau dipuja
buah mulut
sesuatu yang menjadi perbualan orang ramai
buah tangan
hadiah yang dibawa ketika melawat seseorang
bulat hati
bersungguh-sungguh ketika membuat sesuatu; sudah nekad
buruk siku
mengambil balik sesuatu yang telah diberikan kepada orang lain
buta hati
tidak dapat menerima pengajaran; zalim; kejam
cahaya mata
anak
cakar ayam
tulisan yang buruk
campur tangan
turut serta atau mencampuri urusan orang lain
cari jalan
berusaha atau berikhtiar melakukan sesuatu
cepat tangan
suka mencuri
dalam tangan
sudah pasti akan diperoleh
darah daging
anak kandung
durian runtuh
keuntungan yang diperoleh dengan tidak disangka-sangka
gaji buta
mendapat gaji tanpa perlu bersusah payah atau bekerja bersungguh-sungguh
gelap mata
hilang pertimbangan kerana terpengaruh oleh wang atau harta
harga diri
maruah atau kehormatan seseorang
harga mati
harga tetap yang tidak dapat ditawar lagi
hati batu
degil atau keras hati
hidung tinggi
sombong atau tinggi diri
hilang akal
tidak tahu apa-apa yang perlu dibuat; hilang pertimbangan diri
ikat perut
menahan lapar kerana berjimat
iri hati
menyimpan perasaan dengki atau cemburu
isi hati
perasaan dalam hati
jalan buntu
tidak ada jalan penyelesaian
kacang hantu
orang yang jahat dan suka mengganggu orang lain
kaki ayam
tidak berkasut atau berselipar
kaki bangku
tidak berkebolehan bermain bola
kaki botol
suka minum minuman keras
kecil hati
berasa tersinggung atau merajuk
kepala angin
perangai yang tidak menentu
kepala batu
degil dan tidak mendengar nasihat
kera sumbang
orang yang tidak suka bergaul dengan orang lain
khabar angin
berita yang belum tentu benarnya
langkah kanan
bernasib baik
langkah seribu
cepat-cepat lari kerana ketakutan
lidah bercabang
kata-kata yang tidak dapat dipercayai
lipas kudung
cepat membuat kerja
lintah darat
mengambil keuntungan berlebihan atas pinjaman yang diberikan
makan angin
bersiar-siar untuk berehat
makan suap
menerima rasuah
malu-malu kucing
berpura-pura malu di hadapan orang
mandi peluh
bekerja kuat
mati katak
mati dengan sia-sia
membabi buta
melakukan sesuatu tanpa berfikir
membawa diri
tahu menjaga diri
membuka jalan
memberi laluan kepada orang lain
membuka tembelang
menceritakan keburukan seseorang kepada orang lain
memeras otak
terlalu kuat berfikir atau belajar
menarik diri
tidak turut serta; meletak jawatan
mencari jalan
berusaha untuk melakukan sesuatu
mencuci mata
gembira memperhatikan sesuatu yang indah
mencuit hati
lucu; menggelikan hati
mengabui mata
cuba memperdaya; menipu
mengadu domba
memperlagakan seseorang untuk memecahbelahkan persahabatan dan sebagainya
mengambil angin
bersiar-siar untuk berehat
mengambil berat
memberi sepenuh perhatian
mengambil hati
dapat memikat atau mempengaruhi
mengasah bakat
latihan untuk mengembangkan bakat
muka tembok
tidak berasa malu
mulut murai
kuat bercakap atau berbuat bising
mulut tempayan
tidak dapat menyimpan rahsia
murah hati
suka bederma; tidak kedekut
naik angin
terlalu marah
nyawa-nyawa ikan
hampir-hampir mati
orang atasan
orang yang berpangkat tinggi
otak cair
pintar atau bijak
otak kering
kurang siuman
otak udang
bebal atau bodoh
paku belanda
barangan yang tetap harganya
panas hati
meradang atau marah
panjang tangan
suka mencuri
pasang telinga
mendengar dengan teliti
pekak badak
kurang jelas pendengarannya; tidak dapat mendengar bunyi yang kuat
pembasuh mulut
makanan atau minuman yang dihidangkan selepas makan nasi
perang mulut
pertengkaran
pilih kasih
memberi layanan yang lebih kepada orang yang disukai
pisau cukur
perempuan yang suka menghabiskan harta benda lelaki
puteri lilin
tidak tahan terkena panas matahari
putih hati
ikhlas; jujur
putih mata
mengalami kekecewaan
rabun ayam
penglihatan yang kurang jelas
rambang mata
sukar membuat pilihan
ringan tangan
suka membuat kerja: menolong orang
sampai hati
tergamak melakukan sesuatu kerja
serkap jarang
membuat tuduhan secara agak-agak atau tanpa usul periksa
tangan terbuka
menyambut sesuatu dengan senang hati
tangkai jering
orang yang kedekut
tawar hati
tidak mempunyai minat lagi
tebal muka
tidak tahu malu
telinga kuali
tahan hati menerima kemarahan
telinga lintah
tajam pendengaran
telinga nipis
cepat marah atau meradang
terang hati
mudah memahami sesuatu
tidur-tidur ayam
tidur yang tidak nyenyak
tin kosong
bercakap besar tanpa ilmu
titik peluh
hasil usaha yang bersungguh-sungguh
Pesanan : Agar pelajar dapat memahami dengan baik maksud simpulan bahasa, adalah digalakkan membina ayat berdasarkan peribahasa yang diberikan.